fbpx

Dewan Rakyat: Perundangan sedia ada tidak seiring perkembangan teknologi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azalina di Dewan Rakyat hari ini. - Foto JPM

KUALA LUMPUR – Perundangan sedia ada tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang pesat menyebabkan penipuan dalam alam maya semakin berleluasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keadaan itu menyebabkan platform yang ada tidak lagi selamat dan dicemari pelbagai jenayah termasuk penipuan dalam talian.

Justeru, katanya, terdapat keperluan segera bagi mewujudkan satu sistem ‘kill switch’ melalui perundangan dalam memberhentikan penipuan dalam mana-mana domain atau platform dalam talian di Malaysia secara automatik.

“Kerajaan Madani dalam proses merangka satu Akta baharu merangkumi peruntukan berhubung dengan tatacara dan penguatkuasaan “kill switch” untuk meningkatkan keselamatan digital secara terperinci dan jelas, selaras dengan keperluan semasa serta perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan kes jenayah siber.

“Selain itu, penelitian juga sedang dilaksanakan oleh kerajaan melalui agensi yang berkenaan terhadap beberapa peruntukan undang-undang lain seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] bagi membolehkan pengembalian wang penipuan kepada mangsa-mangsa.

“Sebenarnya banyak undang-undang kita yang ada ini semuanya undang-undang ini adalah sebelum 2010. Maknanya undang-undang kita ini agak lambat.

“Kalau berbanding macam kereta, ini betul-betul basikal buruk. Inilah sebabnya undang-undang ini perlu dipinda bukan sahaja dari segi substansif tetapi juga prosedur supaya kita dapat membantu kerajaan yang berhadapan dalam isu berlaku hari ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai usaha dilakukan kerajaan bagi mengatasi masalah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Terdahulu, Azalina berkata, perkhidmatan dalam talian telah mengubah kehidupan rakyat masa kini, membawa peluang baharu kepada orang ramai dan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan.

Bagaimanapun, kata beliau, alam siber semakin menjadi lobok jenayah dan giat dieksploitasi secara mudah oleh pihak tidak bertanggungjawab lantas menyebabkan peningkatan dalam kes jenayah siber secara drastik.

“Menyedari cabaran peningkatan kes jenayah siber, antara lain cabaran disebabkan oleh AI dan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak penyedia perkhidmatan yang lebih mementingkan keuntungan berbanding keselamatan awam. Kerajaan Madani sedang giat mengatur pelbagai usaha secara strategik bagi memerangi isu ini secara efektif dan pada kadar segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI