fbpx

Pemilik syarikat didakwa palsukan dokumen insentif dana Penjana Kerjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai SPRM mengiringi Muhammad Hilmi (kiri) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO ROSALWANI CHE SOH/KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang pemilik sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan memalsukan dokumen bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 1.0 (Penjana Kerjaya), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM28,000, empat tahun lalu.

Muhammad Hilmi Zolkifli, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, tertuduh didakwa memberikan maklumat palsu kepada Pegawai Perkeso Melaka secara dalam talian dengan mendaftarkan nama sembilan individu ke dalam portal Penjana Kerjaya bagi mendapatkan insentif antara RM1,600 hingga RM4,000 dengan jumlah keseluruhan RM28,000.

Kesemua individu tersebut sebenarnya bukan pekerja syarikat Momentum Niaga Training & Consultancy.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah syarikat di Kompleks Perniagaan Saidina Ali, Kok Lanas di sini pada 21 Julai 2020 hingga 6 Oktober 2020.

Muhammad Hilmi didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar dan Tengku Tuan Nurul Haziqah Yacob manakala tertuduh diwakili peguam, Yvonne Gan.

Terdahulu, Tengku Tuan Nurul Haziqah mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 untuk kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu saksi pendakwaan

Yvonne kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan terhadap anak guamnya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 31 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI