fbpx
ROKIAH terkejut apabila menyedari lelaki-lelaki yang berjemaah dengannya ‘lesap’ sebaik sahaja salam akhir. – Ilustrasi Shah Hasan

Wanita diimam jin di surau pejabat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETANG itu hujan lebat menyebabkan Rokiah (bukan nama sebenar) tidak dapat pulang ke rumah selepas habis bekerja.

Dia mengambil keputusan untuk duduk di pejabat sehingga hujan reda sebelum ‘menapak’ ke stesen Transit Aliran Massa (MRT) berdekatan pejabatnya.

Hujan lebat menyebabkan dia terkandas bersama seorang lagi temannya kaum Cina, Mei Ling sehingga azan maghrib berkumandang.

Enggan melengahkan solat, wanita berusia 40 tahun itu mahu segera menyelesaikan solatnya dahulu sebelum pulang.

Ketika melangkah masuk ke dalam surau pejabat di tingkat 3, suasana sunyi tanpa sebarang suara yang menyelubungi membuatkan dirinya tidak sedap hati.

Rokiah menyangka perasaan itu hanyalah bisikan syaitan yang tidak mahu dia menunaikan solat fardu tersebut.

“Saya memang tak nak kalah dengan godaan syaitan yang mahu saya batalkan niat saya solat.

“Jadi, saya buka lampu di ruang wanita, kemudian terus ke ruang solat untuk membuat persediaan menunaikan rukun Islam itu,” katanya kepada Panorama.

Sewaktu Rokiah mengenakan telekungnya, dia terdengar bunyi air di ruang lelaki menandakan ada yang sedang mengambil wuduk. Daripada bunyi yang kedengaran seperti beberapa orang.

Hati wanita berpangkat eksekutif itu lega kerana dia tidak keseorangan di ruang solat pejabatnya dan berpeluang solat berjemaah.

Rokiah nampak pergerakan orang menerusi bayang-bayang yang terpancar pada tirai yang memisahkan saf lelaki dan perempuan.

Kaum lelaki di ruang solat hadapannya itu melaungkan azan, iqamat dan seterusnya menunaikan solat secara berjemaah.

Rokiah turut serta sembahyang berjemaah biarpun dia keseorangan di ruang solat wanita.

Namun di setiap pergerakan solat, dia terasa seperti ada wanita lain turut berjemaah di belakangnya.

“Saya mula rasa seram sejuk. Hati saya kesal kerana saya gagal khusyuk.

“Tapi saya teruskan juga solat. Buat apa saya takut, di hadapan juga ada beberapa orang lelaki sedang solat,” ujarnya.

Bermacam-macam bunyi dia dengar, orang berkumat-kamit baca doa, bunyi geseran kain telekung dan sebagainya.

Namun, satu perkara membuatkan dirinya tersentak dan degup jantungnya hampir terhenti seketika.

Sebaik sahaja dia selesai mengikut imam mengucapkan salam akhir, dia kembali terasa suasana sunyi menyelubungi surau itu.

Perkara yang lebih mengejutkan adalah keadaan ruang solat lelaki di hadapannya gelap dan kosong bagaikan tidak ada orang langsung.

Detik hati Rokiah, bagaimana lelaki-lelaki tadi dengan segera keluar dari surau sebaik sahaja memberi salam akhir.

Kali ini, wanita ini tidak lagi boleh bersangka baik, dia bergegas mengambil barangan yang sempat dicapai lalu berlari ke ruang pejabat.

“Waktu Mei Ling nampak saya, dia terkejut melihat saya kelihatan pucat dan tidak menyarung tudung dengan betul.

“Saya kelu tidak bercakap apa-apa. Saya cuma kata, saya mahu pulang sebab dah lambat,” jelasnya.

Sehingga kini, Rokiah tidak tahu kenapa dia tidak mampu berkongsi cerita dengan Mei Ling tentang apa dialaminya pada malam itu.

Tetapi dia mahu berfikiran positif, mungkin itu makmum jin Islam yang solat bersamanya, bukan gangguan syaitan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN