“SAYA betul-betul menyesal dengan apa yang dilakukan sebelum ini. Jikalau dapat diundurkan masa, saya berjanji tidak akan mengulanginya lagi.”
Demikian luahan dan penyesalan Rusman (bukan nama sebenar) tatkala terkenang kembali khilaf dan dosa yang pernah dilakukannya.
Menyorot kembali, lelaki berusia 50 tahun itu benar-benar menyesal dan tidak pernah menyangka bisikan serta hasutan syaitan jahanam berjaya melalaikan dirinya.
Berkongsi luahan kepada Panorama, anak jati Selangor itu memberitahu, dia sebelum ini bertugas sebagai salah seorang penyelia di sebuah madrasah yang dibangunkan lebih sedekad lalu.
Beritahunya, tugasnya sama seperti penyelia asrama atau sekolah lain dan antaranya mengawasi para pelajar berkaitan keselamatan, akademik serta kebajikan di madrasah.
“Saya antara orang kuat dalam madrasah itu. Saya juga antara mereka yang terawal berkhidmat di institusi agama tersebut sejak awal ditubuhkan.
“Jadi boleh dikatakan dari awal penubuhan, saya antara mereka yang gigih berusaha membangunkan madrasah tersebut termasuk dari segi fasiliti, kemasukan pelajar dan lain-lain,” katanya.
Meneruskan cerita, Rusman menjelaskan, madrasah atau lebih dikenali sebagai sekolah pondok bukanlah sama seperti sekolah bantuan kerajaan lain.
Katanya, di madrasah biasanya semua kos termasuk makan minum, pembelajaran, kemudahan asrama dan utiliti ditanggung sendiri pihak madrasah.
“Kebiasaannya segala kos tersebut datangnya daripada sumbangan dan ihsan orang ramai terutama para penderma tetap madrasah dan ahli keluarga pelajar sendiri.
“Segala kos di madrasah biasanya memang kami bergantung kepada wang sumbangan tersebut termasuklah daripada yuran pelajar.
“Dua sumber itu adalah common (biasa) di mana-mana madrasah sekali pun di dalam negara ini,” katanya.
Justeru ujarnya, sebagai salah seorang penyelia dan ‘orang lama’ dalam madrasah, segala keluar masuk wang dan aliran tunai biasanya menjadi tanggungjawabnya untuk diuruskan.
Kata Rusman, bila tiba musim Ramadan dan Syawal, waktu itulah paling banyak sumbangan diterima daripada pelbagai pihak termasuk syarikat swasta, konglomerat, pertubuhan bukan kerajaan, agensi dan jabatan tertentu sehinggalah orang perseorangan.

“Soal keluar masuk wang memang antara skop tugasan saya di madrasah. Saya antara individu yang dipercayai bagi menguruskan semua wang tersebut.
“Jadi sebagai manusia dan pekerja, tiada apa yang saya harapkan selain gaji dan elaun bulanan yang tidaklah begitu tinggi sebagai penyelia.
“Sepanjang berkhidmat, saya juga tidak pernah meminta untuk dinaikkan gaji atau merungut dengan apa yang diterima kerana kerja yang dilakukan juga adalah ibadah.
“Tetapi tipulah sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari daripada khilaf, saya juga pernah membuat kesilapan tanpa diketahui orang lain,” tutur Rusman.
Beritahunya lagi, dia tidak pernah berniat untuk mengambil hak anak-anak madrasah yang kebanyakannya merupakan anak yatim, tetapi mengakui kadangkala terdesak dengan tuntutan dunia.
Akuinya, dia pernah mengambil sebahagian wang sumbangan madrasah tanpa diketahui untuk kegunaan peribadi, namun berjanji mengembalikannya sekiranya mempunyai wang.
“Akaun keluar masuk kewangan madrasah memang saya yang uruskan. Jadi pekerja atau orang lain di sini (madrasah) tidak tahu menahu mengenai jumlah wang yang diperolehi.
“Saya mengaku pernah beberapa kali menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi.
“Jujur saya tahu itu adalah dosa. Itu bukan hak saya. Tetapi kadangkala hati kecil saya berkata, saya berhak ke atasnya kerana jasa dan pengorbanan yang ditaburkan saya di madrasah tersebut.
“Daripada sekecil-kecil wang, lama-kelamaan saya berani ambil banyak dan lebih sedikit. Perlakuan tersebut (mencuri dan mengambil hak orang lain) seakan-akan sudah menjadi kebiasaan.
“Saya sendiri pun tidak tahu berapa jumlah yang saya telah ambil. Hampir tiga tahun juga saya buat perkara terkutuk itu. Itu belum lagi melibatkan wang-wang lain yang diterima daripada beberapa pihak untuk tujuan tertentu,” katanya.
Atas balasan bertahun-tahun ‘makan’ wang haram, Rusman telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara serta denda oleh mahkamah dan ‘hukuman dunia’ tersebut menyedarkannya dengan apa yang dilakukan sebelum ini.
Kata bekas banduan yang telah dibebaskan penjara tahun lalu, dia melakukan perkara tersebut akibat terdesak dengan hutang lapuknya selain menyifatkan ia sebagai habuan bagi dirinya yang selama ini bersusah payah membangunkan madrasah tersebut.














