Minyak wangi merupakan antara barangan yang dipakai sebagai pelengkap gaya.
Harga sebotol minyak wangi bermula dari serendah puluhan ringgit dan boleh mencecah sehingga jutaan ringgit, bergantung kepada keistimewaan dan kualiti bahan yang digunakan untuk menghasilkannya.
Selain itu, keunikan rekaan pada botol minyak wangi juga boleh menjadikan harganya cukup tinggi memandangkan selain menggunakan harumannya, botol minyak wangi dengan rekaan yang menarik juga dikumpul oleh golongan collectors.
Minggu ini kami kongsikan senarai lima minyak wangi paling mahal di dunia.
1. Nabeel – Shumukh (RM6.18 juta)
Minyak wangi Shumukh yang dikeluarkan syarikat pengeluar minyak wangi Nabeel dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu merupakan minyak wangi termahal di dunia.
Botol minyak wangi Shumukh dengan isipadu tiga liter dihiasi dengan 3,571 berlian penuh kilauan, emas 18 karat dan juga perak asli seberat 5,892 gram.
Minyak wangi ini juga memegang Guinness World Records sebagai minyak wangi paling banyak berlian.
Minyak wangi ini juga mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan dengan 494 kali cubaan. Baunya pula adalah gabungan notes seperti kayu gaharu India, sandalwood, amber, musk, patchouli, ylang-ylang, frankincense dan juga mawar asli dari Turkiye.
2. DKNY – Golden Delicious (RM4.79 juta)
Minyak wangi Golden Delicious yang dihasilkan jenama fesyen terkenal dari New York, Amerika Syarikat iaitu DKNY merupakan antara minyak wangi termahal di dunia.
Botol minyak wangi tersebut merupakan edisi khas yang direka oleh pereka barangan kemas popular iaitu Martin Katz.
Ia dihiasi dengan 2,909 batuan berharga dan dihasilkan untuk tujuan mengumpul wang bagi organisasi kemanusiaan global iaitu Action Against Hunger.
3. Clive Christian – No. 1 Majeste imperiale (RM1.03 juta)
Pada 2006, pembuat minyak wangi dari Britain, Roja Dove menghasilkan minyak wangi diberi nama No. 1 Majeste imperiale untuk syarikat minyak wangi mewah Clive Christian.
Menariknya minyak wangi ini hanya 10 botol yang dihasilkan di dunia menjadikan harganya cukup mahal. Ia mengandungi haruman vanila, musk, bergamot, mandarin Sicilian, ylang-ylang, neroli dan madu, manakala botolnya dirias dengan emas lapan karat dan berlian lima karat.
4. Dior – J’adore L’or Prestige Edition(RM359,437)
Direka semula dengan tambahan notes baharu yang lebih segar, minyak wangi edisi terhad J’Adore keluaran jenama fesyen terkenal dari Perancis, Dior merupakan antara haruman paling mahal di dunia.
Botol minyak wangi daripada rona emas itu dihasilkan pada 2016 untuk meraikan sejarah jenama itu dan hanya dijual dalam jumlah yang terhad.
Permukaannya pula dihias dengan reben besar bertatahkan 40 batu berlian.
5. Paco Rabanne – 1 Million Luxe Edition (RM273,172)
Merupakan salah satu minyak wangi lelaki termahal dunia, satu botol minyak wangi 1 Million Luxe Edition daripada jenama fesyen Paco Rabanne mencecah harga ratusan ribu ringgit.
Ia merupakan campuran notes buah oren merah, limau gedang, kulit kayu manis, pudina, mawar dan kulit.
Biarpun rekaan botolnya sudah tiada di pasaran, namun pemiliknya boleh mengisi semula botol tersebut dengan haruman sama.














