fbpx

Anwar mahu prasarana industri pelancongan dinaik taraf segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar merasmikan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di Kompleks Kraf di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Prasarana industri pelancongan perlu segera dinaik taraf bagi menampung jumlah kehadiran pelancong asing yang semakin meningkat ke Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini berlaku kesesakan di pintu masuk negara termasuk di lapangan terbang dan pelabuhan.

Kata beliau, perlu ada sinergi antara kementerian khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Kementerian Pengangkutan untuk memacu industri pelancongan negara.

“Apabila pelancong datang, lapangan terbang dan pelabuhan harus efisien, harus diperbaiki. Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu harapnya siap secepat mungkin.

“Sekarang sampai ke Tawau jumlah pelanncong (meningkat), tetapi kita tahu lapangan terbang di Tawau kecil. Tidak dirangka untuk mendapat pelancong dari luar negara. Sekarang ada.

“Kemudian menyegerakan tindakan. Asalkan kita ikut prosedur yang baik dan elak daripada amalan lama masing-masing hendak cari keuntungan dan ambil habuan.

“Kita harus percepatkan. Tidak boleh (lagi) hendak siapkan, baiki lapangan terbang yang biasa dulu tiga, empat tahun… tak boleh. Sebab itu saya sudah minta semua ini disegerakan.

“Lapangan terbang Tawau, Pulau Pinang yang sudah sesak harus diperbesarkan. KLIA umpamanya itu sudah jadi tekanan kerana jumlah pelancong sangat tinggi.

“Kita galakkan pelancongan, tetapi orang tersangkut (di lapangan terbang). Orang tak suka tunggu berjam-jam,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di Kompleks Kraf di sini hari ini.

Pada majlis sama, Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Tokoh Kraf Negara 2024 kepada Bangie Anak Embol (Kraf Tekstil Tenunan Pua).

HKK 2024 dianjurkan MOTAC melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) bermula Khamis lalu hingga 4 Mac depan.

Penganjuran HKK 2024 turut dimeriahkan dengan Festival Kraf Kebangsaan (FKK) 2024 di 12 buah pusat beli-belah terpilih di seluruh negara bermula semalam hingga 21 April 2024.

Seramai 640 usahawan kraf daripada bidang kraf tekstil, hasil logam, hasil rimba, hasil tanah dan aneka kraf menyertai penganjuran HKK 2024 kali ini.

Dalam pada itu, Anwar mencadangkan saguhati pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dipengerusikan Malaysia tahun hadapan berbentuk kraftangan sekaligus mempromosi produk berkenaan kepada dunia.

Menurut beliau, Sidang Kemuncak ASEAN 2025 merupakan acara yang besar kerana perwakilan daripada banyak negara termasuk China, India, Australia, Eropah dan Amerika Syarikat akan ke Malaysia.

“Kalau tahun depan kita perlukan bahan-bahan ini, kementerian akan tempah barang-barang ini untuk keperluan. Hadiah kita perlu sampaikan seperti mana mereka sampaikan kepada kita, tetapi tidak perlu terlalu mahal.

“Kalau kita tempah sekarang barang-barang asas dibeli oleh syarikat dan kita pantau dengan cara demikian, ribuan industri kraftangan kecil yang mskin dapat kita pertingkatkan mereka.

“Ini sebab saya kata kita tak boleh kerja dalam silo. Kerajaan ini mesti melihat keseluruhannya. Seluruh jentera kerajaan itu harus disatukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI