fbpx

‘Antara ribuan pasangan, kami yang bertuah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im (kanan) menikahkan Adnan (kiri) bersama pasangan pilihannya dalam Majlis Akad Nikah Rahmah bersempena Sambutan Jubli Emas ke-50 Tahun Jawi di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini. FOTO oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – “Antara ribuan pasangan yang hendak bernikah, kami yang bertuah. Tidak tergambar rasa gembira kami rasai hari ini,”

Begitulah kata Muhamad Adnan Abdullah, 53, dan Siti Mardiyah Mansor, 41, salah satu pasangan pengantin yang menyertai Majlis Akad Nikah Rahmah sempena Sambutan Jubli Emas ke-50 Tahun Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Menurut Adnan, dia dan isteri sangat berterima kasih dengan peluang sekali seumur hidup diterimanya untuk melangsungkan perkahwinan secara Rahmah yang diberikan oleh pihak Jawi.

“Selepas hantar borang, pihak Jawi terus panggil kami untuk sertai majlis ini. Ini semua rezeki dari Allah SWT untuk kami berdua. Antara ribuan pasangan yang hendak bernikah, kami bersyukur terpilih.

“Kami difahamkan, kami adalah pasangan terakhir daripada 10 pasangan yang ditawarkan.

“Alhamdulillah, dapat macam-macam hari ini. Saya rasa gembira dapat melangsungkan perkahwinan di sini bersama pasangan,” ujarnya.

Lebih indah, Adnan dan isteri telah dinikahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Menurut Adnan, kedua-dua belah keluarga sangat gembira dan menggalakkannya menyertai perkahwinan Rahmah yang dijalankan oleh Jawi itu.

“Pendapat saya, orang muda yang ingin melangsungkan perkahwinan seharusnya mengetepikan rasa malu sekiranya benar-benar berniat untuk menghalalkan hubungan masing-masing.

“Benda baik elok disegerakan. Kerja keras, kumpul duit kemudian banyakkan doa agar semuanya dipermudahkan oleh Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seramai 10 pasangan mempelai diraikan meriah dalam Majlis Akad Nikah Rahmah yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Sepanjang majlis berlangsung, pasangan pengantin yang terlibat dapat menikmati jamuan makan percuma untuk 700 orang tetamu, dekorasi pelamin indah dan sudut foto, sepersalinan busana pengantin, sebentuk cincin emas, serta hadiah iringan seperti set telekung, sejadah, senaskhah al-Quran dan plak cenderahati. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI