fbpx

Prestasi Ringgit: Tak wajar bandingkan dengan tahun 1998 – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap merasmikan majlis pelancaran Hab Kewangan Antarabangsa Malaysia Tun Razak Exchange (TRX) di Menara Exchange 106, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak sewajarnya membandingkan prestasi ringgit dengan tahun 1998, malah perlu dilihat dari semua aspek yang telah meningkatkan ekonomi negara.

Katanya, selain pelaburan yang dicatatkan tertinggi dalam sejarah Malaysia, rakyat juga perlu lihat dari segi inflasi dan kadar pengangguran yang telah menurun berbanding negara jiran.

“Kenapa harus dilihat dari segi ringgit semata-mata. Kalau nak dibandingkan dengan tahun 1998, ringgit pada waktu itu lebih turun, inflasi naik, kadar pengangguran naik, tiada pelaburan.

“Sekarang ni pelaburan kita angka terakhir yang diumumkan semalam adalah tertinggi dalam sejarah Malaysia. Kalau keyakinan itu kurang kerana ringgit, kita tak akan ada pelaburan seperti ini.

“Saya telah menugaskan BNM untuk memantau sebab ia di bawah bidang kecekapan mereka. Tetapi memang, masalah kejatuhan wang memberi kesan kepada semua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hab Kewangan Antarabangsa di Tun Razak Exchange (TRX) di sini, hari ini.

Bertanyakan tentang apa yang perlu dilakukan bagi menangani masalah prestasi ringgit, Anwar berkata pihaknya tidak pernah mengabaikan atau mengambil mudah tentang isu tersebut.

Malah beliau berkata, prestasi ringgit akan sentiasa dipantau termasuklah isu kos sara hidup dan kesan kepada kehidupan masyarakat di negara ini.

“Eksport Malaysia pun saya lihat dalam keadaan baik, saya jumpa syarikat-syarikat yang eksport, mereka semua sangat senang.

“Apa yang penting bagi saya, fokus apa yang kami boleh buat dan patut buat. Hakikatnya memang saya buat setiap hari. Semalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN), pagi ni di TRX, dan petang ini pula di Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL),” katanya.

Terdahulu, menurut laporan Bloomberg ringgit yang berterusan menyusut meletakkannya hampir ke paras terendah yang direkodkan pada 1998 semasa krisis kewangan Asia.

Dalam laporan itu juga menyatakan semasa krisis kewangan Asia 1998, ringgit mencatatkan kadar terburuk pada 4.88 sehingga mendorong kerajaan campur tangan dengan menambat mata wang negara itu pada 3.80 berbanding dolar AS.

Dalam pada itu, Anwar turut mengulas mengenai kritikan orang ramai apabila beliau meminta Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour menjawab prestasi ringgit.

Jelas Anwar, sebelum memberi kenyataan tersebut, Shaik Abdul Rasheed sudah pun memaklumkan kepadanya untuk mengeluarkan kenyataan penuh.

“Tempoh hari saya dikritik kerana minta Gabenor BNM jawab mengenai prestasi ringgit.

“Saya kata begitu kerana gabenor memberitahu saya, dia akan keluarkan kenyataan penuh. Jadi sebab itu saya serahkan kepada dia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI