KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan peningkatan kadar penyertaan wanita dalam ekonomi serta tenaga buruh menerusi penawaran pelbagai program kemahiran di Laman Wanita (LaWa) yang diperkenalkan sebelum ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha tersebut dapat membantu golongan wanita menjana pendapatan sendiri dan keluarga, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.
“Hal ini selaras inspirasi Ekonomi Madani untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus.
“LaWa kini menjadi pusat aktiviti setempat yang menawarkan pelbagai program dan aktiviti pemerkasaan wanita melalui aspek peningkatan kemahiran asas.
“Selain itu, ia membantu mewujudkan jaringan sosial serta pusat maklumat asas berhubung pelbagai isu wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan LaWa di Kota Bharu, Kelantan bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 baru-baru ini.
Nancy berkata, semua program dan aktiviti itu menyokong aspirasi pemerkasaan wanita merangkumi aspek ekonomi, kesejahteraan, keselamatan serta kepimpinan yang telah diberikan perhatian khusus oleh kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“LaWa turut melaksanakan program dan aktiviti melalui kolaborasi strategik bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Secara keseluruhannya, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mempunyai 14 LaWa di tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Nancy menambah, secara khusus, di Kelantan terdapat dua LaWa iaitu di Kota Bharu dan Tanah Merah.
Kongsinya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 152 program dilaksanakan Pejabat Pembangunan Wanita (PPWN) Kelantan yang disertai komuniti, ibu tunggal serta suri rumah.
Katanya, antara program dianjurkan adalah industri makanan iaitu produk pastri, penghasilan biskut, kuih tradisional, seni jahitan serta jahitan kreatif bagi membantu peserta meraih pendapatan.














