fbpx

Saiz kontinjen bukan masalah – Hamidin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMIDIN menyeru para atlet yang layak ke Paris untuk berusaha sekuat mungkin bagi memburu pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik itu.

Oleh AIZATIE NAJMIN SULAIMAN

CHEF de Mission (CDM) Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengakui tidak bimbang mengenai jumlah atlet dan saiz kontinjen negara yang akan menyertai temasya berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya barisan atlet yang berjaya melayakkan diri perlu sedia berjuang untuk memberikan yang terbaik dan cuba mendapatkan pingat emas yang selama ini diidamkan oleh negara.

Katanya, beliau menerima dengan hati yang terbuka sekiranya jumlah atlet yang layak lebih kecil berbanding edisi-edisi sebelum ini.

“Ini bukan soal kerisauan kontinjen kecil, kita dah memang tidak layak, jadi kita perlu ingat dan menerima bahawa Olimpik kali ini adalah sukar buat kita. 

“Ketika ini, sukar buat kami tetapi mesej saya kepada Datuk Azizulhasni Awang, beliau masih belum disahkan lagi (secara rasmi) dan juga pemain badminton. Bagi kami sesiapa yang layak, kita kena berusaha semaksimum mungkin untuk dapatkan pingat. 

“Itu penting dan sudah pasti kita mahukan pingat pertama untuk cipta sejarah, tetapi dalam masa sama, kita juga perlu berusaha untuk dapatkan sebanyak mana pingat yang boleh,” katanya selepas melawat latihan atlet negara di Bukit Jalil hari ini.

Setakat ini, hanya lima atlet yang sudah pun melayakkan diri ke Paris 2024 iaitu penerjun muda, Bertrand Rho­dict Lises; Nur Shazrin Latif (pelayaran); Johnathan Wong (menembak); Ariana Nur Dania Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (basikal).

Sebelum ini, skuad hoki lelaki negara gagal melayakkan diri ke Paris 2024 selepas kecundang di kejohanan kelayakan di Muscat, Oman Januari lalu dan lebih mengecewakan tiga penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng turut gagal ke Paris.

Pada edisi lalu Olimpik Tokyo 2020, Malaysia menghantar 30 atlet dan kontinjen negara berjaya membawa pulang satu pingat perak menerusi Azizulhasni Awang dalam acara keirin lelaki manakala beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membawa pulang gangsa. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI