fbpx

Malaysia-Jepun perkukuh perdagangan halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (tengah) selepas sesi meja bulat anjuran HDC bersama pemain industri halal terkemuka di Jepun hari ini.

PETALING JAYA – Halal Development Corporation Berhad (HDC) iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama AEON Co. (M) Berhad serta Persatuan Halal Jepun (JHA) sekali gus memperkukuhkan lagi perdagangan halal antara Malaysia dan Jepun.

MoU tersebut yang ditandatangani di Jepun hari ini disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia (MPIH).

Ahmad Zahid berkata, menerusi MoU pertama di antara HDC dan AEON Co. (M) Berhad, ia bertujuan mempromosi produk halal Malaysia di Jepun yang mana AEON (M) menyediakan panduan perniagaan kepada pemain industri halal Malaysia bagi menembusi pasaran di Jepun.

“Seterusnya, mempromosi Platform Bersepadu Halal HDC (HIP) dan menganjurkan sesi pembentangan untuk mempromosi produk halal.

“HDC juga akan bekerjasama dalam menyediakan program latihan halal untuk pemain industri halal Jepun bagi memudah cara kemasukan mereka ke dalam pasaran halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, MoU kedua antara HDC dan JHA pula bertujuan meningkatkan infrastruktur dan pensijilan halal di Jepun.

“Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dan perkongsian kepakaran untuk menyelaraskan proses pensijilan halal bagi restoran di Jepun.

“HDC dan JHA memberi komitmen untuk mempromosikan aspek integriti halal secara global dan memperkasakan perniagaan tempatan sebagai antara langkah pentig ke arah memajukan industri halal dan menyokong komuniti Islam di Jepun dan seluruh dunia,” katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan bersama pemain industri halal terkemuka di Jepun yang mana sidang meja bulat anjuran HDC hari ini menggariskan kepentingan menyelaras kerjasama antara pemain industri kedua-dua negara.

“Hal ini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap barangan dan perkhidmatan halal dunia yang kini mencatat nilai mencecah lebih AS$3 trilion,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad menekankan kerjasama kukuh antara Malaysia dan Jepun yang dapat dilihat menerusi kesungguhanan kedua-dua negara dalam hal berkaitan pembangunan industri halal.

“Komitmen Jepun dalam memastikan aspek kualiti dan integriti halal menerusi enam badan pensijilan halal di Jepun yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, membuktikan peranan pentingnya dalam pasaran global.

“Walaupun bilangan penduduk beragama Islam di Jepun agak kecil, pasaran halal negara ini tetap mewujudkan peluang besar bagi pertumbuhan serta kerjasama dalam industri halal.

“Sebagai contoh, jumlah eksport Malaysia mencecah RM59.46 bilion pada 2022, dengan eksport halal ke Jepun berjumlah RM 3.6 bilion. Angka ini jelas mencerminkan potensi besar boleh diterokai dalam perdagangan sektor halal antara kedua-dua negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI