fbpx

MHL 2024: Negeri Sembilan tumbang di gelanggang sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETUA pasukan Negeri Sembilan, Fazillah Sylvester Silin (jersi merah) cuba mengatasi pemain Liaoning Women's Hockey Team (jersi kuning) dalam perlawanan Liga Hoki Malaysia TNB 2024 di Stadium Hoki Seremban 2, petang tadi.- Foto NAZARUDIN SHAHARI

SEREMBAN – Selepas mengharungi lima perlawanan tanpa kalah, pasukan hoki wanita Negeri Sembilan akhirnya tumbang di laman sendiri apabila tewas 1-3 kepada pasukan dari China, Liaoning Women’s Hockey Team dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) TNB 2024 di Stadium Hoki Seremban 2, di sini petang tadi.

Pasukan tuan rumah yang mendapat inspirasi daripada kemenangan PDRM Blue Warriors ke atas Liaoning kelmarin cuba melakukan asakan sebaik permainan dimulakan kira-kira pukul 5 petang.

Namun kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang gol pada suku pertama dan kedua permainan.

Rentak permainan bertukar pada suku ketiga apabila pasukan pelawat memperoleh gol pada minit ke-40 berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Wang Libin ternyata tidak tersasar membuat pukulan apabila menjaringkan gol pertama pasukan pelawat.

Bangkit daripada ketinggalan, Negeri Sembilan menggandakan serangan ke kubu lawan. Hasilnya, pemain import dari China, Li Meiling menjaringkan gol penyamaan melalui pukulan sudut penalti.

Para pemain Liaoning yang ternyata lebih cergas melalui taktik mengganti pemain lebih kerap terus menyerang kubu Negeri Sembilan.

Libin sekali lagi meletakkan Liaoning di depan dengan gol kedua pada minit ke-56 juga berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Seminit selepas itu, Wang Lihang menjaringkan gol ketiga pasukan pelawat melalui gol padang sekaligus merobek rekod tanpa kalah Negeri Sembilan dalam lima perlawanan sejak MHL 2024 bermula pada 1 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI