fbpx

Bekas suami bayar denda RM5,000 elak bayar nafkah, tuntutan harta sepencarian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DENDAM lama terhadap bekas isteri menjadi antara punca golongan bapa enggan membayar nafkah kepada anak kandung. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Banyak kes bekas suami lebih rela bayar denda RM5,000 daripada kena bayar nafkah atau tuntutan harta sepencarian yang berjumlah berpuluh atau beratus ribu ringgit kepada bekas isteri.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keadaan tersebut antara sebab Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 354) perlu segera dinaik taraf.

“Setelah 40 tahun adalah tidak munasabah had denda masih kekal pada RM5,000 memandangkan status ekonomi dan pendapatan rakyat sudah jauh berubah.

“Contohnya kes-kes yang melibatkan penafian hak ke atas wanita atau isteri yang menuntut nafkah atau harta sepencarian apabila ditinggalkan suami kerana kahwin lain dan sebagainya.

“Ini contoh ketidakadilan kepada wanita lantaran kekangan perundangan seperti had bidang kuasa hukuman mahkamah syariah,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berharap Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam mengesyorkan juga kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan agar menaik-taraf Akta 355 yang lama tertangguh.

Kata beliau, antara cadangan penting menaikkan had hukuman denda maksimum daripada RM5,000 kepada RM100,000.

Jelas beliau, kali terakhir Akta 355 dipinda pada tahun 1984 iaitu antara lain menaikkan hukuman daripada had denda maksimum RM1,000 kepada RM5,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar pada 5 Disember lalu memaklumkan, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam yang turut dianggotai 10 individu lain.

Antara yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh; Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI