fbpx

Dua wanita Thailand, lelaki didakwa edar dadah, simpan pistol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETIGA-TIGA tertuduh diriingi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Melaka hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Dua wanita warga Thailand dan seorang lelaki tempatan di hadapkan ke Mahkamah Melaka di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki dan mengedar dadah serta mempunyai sepucuk pistol bulan lalu.

Tertuduh, Maneerat Pariwat, 24 dan Promporn Thanadchangsaeng, 25, serta Ong Kee Teck, 37, hanya mengganguk tanda faham sejurus enam pertuduhan berkaitan kesalahan dadah dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni.

Mengikut kesemua pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh dalam mencapai niat bersama didapati mengedar cecair mengandungi dadah jenis Ketamin anggaran isipadu 286,255 mililiter (ml), Nimetazepam berat kasar 551 gram, serbuk dadah MDMA (1,124 gram), Ketamin, (5,569 gram) dan campuran serbuk Ketamin (6,415 gram).

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu kirq-kira pukul 8.15 malam di sebuah rumah beralamat Jalan TS4, Taman Saga Bertam Malim, dalam daerah Melaka Tengah pada 27 Januari lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dikenakan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis MDMA dalam bentuk pil berat kasar 26 gram di lokasi dan masa sama didakwa mengikut Seksyen 12 (2) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih lima tahun dan dikenakan tidak kurang tiga sebatan atau tidak lebih sembilan sebatan.

Sementara itu dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah memiliki sepucuk pistol di lokasi dan waktu sama.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah mempunyai dalam milikan satu pucuk pistol jenis CZ 85 B Cal.9 luger tanpa kebenaran yang sah.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan juga tidak kurang enam sebatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar dan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri, manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Mak Kah Keong.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 4 April depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI