fbpx
Ramai wanita bertudung mengunjungi studio terletak di Titiwangsa, Kuala Lumpur itu sejak ia mula beroperasi bulan lalu.

Studio pilates mesra hijab pertama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI seorang Muslimah yang amat menggemari aktiviti kecergasan, wanita itu berkongsi dirinya sentiasa mencari studio kecergasan atau gimnasium mesra hijabi (wanita berhijab).

Dia yang sering mengenakan pakaian longgar dengan tudung labuh mengakui agak sukar untuk mencari studio senaman yang benar-benar memberikannya keselesaan untuk memakai pakaian senaman yang tidak menonjolkan bentuk tubuh.

“Saya sememangnya amat menggemari aktiviti senaman seperti yoga dan juga pilates.

“Begitu pun, antara isu yang pernah dihadapi saya sepanjang mengunjungi beberapa studio senaman sedemikian di sekitar Lembah Klang ini adalah saya ditegur oleh jurulatih kerana tudung yang dipakai dianggap mengganggu pergerakan saya,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Siti Nuratikah kepada K2.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, tudung senaman yang sesuai untuk wanita berhijab sememangnya banyak dijual di pasaran, namun Siti Nuratikah kurang selesa gayakannya memandangkan kebanyakan tudung itu mempunyai potongan pendek dan tidak menutup dada.

“Saya amat menitikberatkan pakaian dan juga aurat saya dalam setiap perkara dan oleh sebab itu, saya mahu mengunjungi studio senaman yang bersifat mesra hijabi,” katanya.

Masalah sama turut dihadapi oleh pasangan kembar kelahiran Kuala Lumpur yang kemudiannya mendorong mereka untuk menubuhkan sebuah studio senaman pilates sendiri khusus untuk wanita berhijab.

Farah Nadia Muhammad Sabri, 33, dan Farah Liyana Muhammad Sabri, 33, mengasaskan Bliss Society yang terletak di Titiwangsa, Kuala Lumpur bulan lalu.

Berkongsi pengalamannya dalam mencari studio mesra hijab, Farah Nadia berkata, setakat ini, dia belum menemui mana-mana studio senaman yang benar-benar memberikannya keselesaan sebagai seorang pemakai tudung tatkala melakukan aktiviti senaman.

“Saya dan pasangan kembar saya sememangnya amat menyukai aktiviti ‘studio-hopping’ atau mengunjungi pelbagai studio senaman di sekitar Lembah Klang ini untuk mencuba aktiviti yang ditawarkan.

“Kami sudah pergi ke berbelas studio senaman dan sehingga ke hari ini, kami masih belum menemui satu studio yang benar-benar mesra wanita berhijab.

“Malah, dalam satu insiden, saya pernah ditegur oleh jurulatih berkenaan pakaian saya ketika melakukan pilates kerana menurutnya, dia tidak boleh lihat pergerakan badan saya memandangkan ia ‘terselindung’ di sebalik pakaian saya yang longgar,” kongsinya yang juga merupakan jurulatih pilates di studionya sendiri.

Mengakui agak terasa dengan teguran itu, Farah Nadia kemudiannya terfikir untuk mengasaskan studio pilatesnya sendiri yang cukup sesuai buat wanita berhijab sepertinya.

Menurut Farah Nadia, Bliss Society merupakan studio pilates pertama di negara ini yang mesra hijabi sepenuhnya.

Antara peralatan senaman pilates yang disediakan

Kongsi bekas jurutera itu lagi, bagi sesetengah orang, etika berpakaian mungkin bukan satu isu besar, namun Farah Nadia berkata, dia tahu ramai wanita di luar sana yang berdepan isu sama dan mungkin berasa kurang selesa apabila terpaksa mengenakan pakaian ketat saat melakukan aktiviti senaman.

“Dalam kes yang teruk, ada seorang individu yang berkongsi dengan saya bahawa dia pernah diminta untuk hanya memakai sports bra dan juga legging ketat untuk aktiviti pilates yang disertainya.

“Ini lebih menguatkan lagi keinginan saya untuk mewujudkan sebuah studio yang mana pelanggan saya boleh bebas memakai apa sahaja dan berasa 100 peratus selesa untuk beraktiviti,” katanya.

Pilates merupakan senaman berimpak rendah yang bertujuan untuk menguatkan otot tubuh, memperbaiki postur badan dan juga meningkatkan fleksibiliti badan.

Antara kebaikan pilates yang lain adalah ia menitikberatkan kawalan dan memberi kekuatan ke atas bahagian core atau teras tubuh badan iaitu bahagian abdomen, pinggang dan juga tulang belakang.

Selain mesra hijabi, Bliss Society juga menawarkan aktiviti pilates peringkat permulaan atau beginner-friendly.

Kongsi Farah Nadia, selain kurang mesra hijab, dia juga mendapati kebanyakan studio pilates sedia ada lebih menawarkan kelas bersifat intense yang kurang sesuai buat mereka yang baru pertama kali mencuba aktiviti pilates.

“Kebanyakan kelas pilates yang saya kunjungi sebelum ini, biarpun dilabel sebagai beginner-friendly, namun saya merasakan bahawa ia agak intense.

“Gerakannya lebih sesuai buat mereka yang sudah pernah melakukan pilates dan sukar diikuti oleh saya yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti tersebut,” katanya yang mengambil kira semua kekurangan yang dilihat pada studio sedia ada sebelum mewujudkan studio sendiri.

Bliss Society juga bakal menempatkan sebuah kafe mini yang menjual minuman dan makanan kelak, yang akan mula beroperasi penghujung Februari ini.

Biarpun masih baharu, Farah Nadia yang berpengalaman mengendalikan beberapa perniagaan lain sebelum ini berkata, dia sama sekali tidak menyangka sambutan terhadap studionya itu cukup memberangsangkan.

Sebelum menawarkan pakej, Farah Nadia berkata, dia banyak menganjurkan kelas secara percuma buat wanita Muslimah sepertinya dan daripada situ, dia mendapat tahu bahawa ramai yang mencari studio yang membolehkan mereka memakai apa sahaja ketika bersenam.

“Sambutan luar biasa itu adalah disebabkan adanya demand atau permintaan terhadap studio sebegini dan saya berharap agar lebih ramai lagi yang akan datang dan membentuk satu komuniti di Bliss Society,” katanya.

Farah Nadia juga menjelaskan biarpun dilabel sebagai mesra wanita berhijab, namun Bliss Society sebenarnya terbuka kepada semua wanita tanpa mengira agama dan bangsa.

“Saya juga ada menerima kunjungan daripada pelanggan kaum Cina yang juga teruja mencuba kelas pilates di sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN