fbpx

Gangguan bekalan air pulih di Pangkor sebelum Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

IPOH – Gangguan bekalan air di Pulau Pangkor sejak Jumaat lalu dijangka kembali pulih sepenuhnya sebelum bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Lembaga Air Perak (LAP) sedang giat melakukan kerja-kerja mengesan kebocoran pada paip utama rentas dasar laut ke pulau itu.

Katanya, kebocoran itu dipercayai menjadi punca tekanan air rendah ke pulau peranginan terkenal tersebut.

“Kerja mengesan kebocoran dilakukan dengan bantuan juruselam di sepanjang 3.5 kilometer saluran membabitkan tiga paip utama. Saya mohon maaf dan minta orang-orang di Pangkor agar bersabar sedikit.

“Kita beri kesempatan kepada LAP untuk meneruskan kerja mereka membaiki keseluruhan paip utama. Kita akan lakukan secepat mungkin dan beri jaminan sebelum Ramadan bermula, air ada dan bekalan mencukupi di semua tempat,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mohammad Nizar berkata, gangguan bekalan air mungkin disebabkan masih berlaku kebocoran pada paip utama tersebut menyebabkan tekanan air masih tidak kembali ke paras normal.

“Pada 5 Februari lalu, kerja pembaikan telah dilakukan di satu daripada tiga saluran paip utama, namun selepas kerja membaiki paip itu, tekanan air masih belum naik sehingga semalam.

“Kita syak memang ada berlaku lagi kebocoran sama ada di dua paip lain atau paip yang sama. Kita sedang meneliti perkara itu dan kerja pembaikan akan segera dilaksanakan sekiranya didapati terdapat kebocoran yang dikesan dan disahkan lokasinya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI