fbpx

[KEMASKINI] Tiga remaja hilang selepas cuba selamatkan rakan lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba mencari mangsa di sekitar lokasi kejadian di Sungai Sempit, Tanjung Batu, Segari petang tadi. - Foto IHSAN JBPM

MANJUNG – Percubaan menyelamatkan seorang rakan yang lemas menjadi punca tiga remaja hilang di Sungai Sempit di Tanjung Batu, Sungai Batu, Segari di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 3.37 petang mengenai kejadian tersebut.

“Hasil siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati ketiga-tiga mangsa sedang memancing dan salah seorang daripada mereka telah mandi di sungai tersebut dan lemas.

“Sehubungan itu, dua lagi remaja dipercayai hanyut bersama ketika cuba menyelamatkan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mohamed Nordin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Marin (PGM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan nelayan telah dijalankan bagi mengesan mangsa.

Mangsa yang dipercayai lemas dikenal pasti sebagai Chew Darumaraj, 14, serta G. Sarath dan T. Eishwarpillai yang berusia 16 tahun.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, terdapat lima individu berada di kawasan tersebut dengan tiga daripadanya yang berasal dari Sitiawan dipercayai lemas.

Beliau berkata, pencarian dilakukan dalam jarak dua kilometer dari lokasi kejadian, dengan menggunakan kaedah ‘riverbank searching’ bagi peringkat awal.

Menurut beliau, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM telah tiba di lokasi pada pukul 5.30 petang dan membuat ujian kedalaman di lokasi mangsa lemas, manakala Unit K9 JBPM akan digerakkan esok bagi membantu operasi.

“Pada pukul 6 petang tadi tiga buah bot telah diturunkan untuk membuat ‘surface searching’. Pada masa ini air telah mula surut dan dijangka pasang penuh pada 12 tengah malam ini dan kembali surut tengah hari esok.

“Berdasarkan maklumat awal, kawasan kejadian adalah berselut dengan kedalaman air 4.8 meter dan mangsa mungkin tersangkut di situ. Kita fokus (pencarian) bermula dari tempat mereka dipercayai lemas,” ujarnya.

Kata beliau, dua lagi bot akan ditambah bagi membantu operasi SAR esok, selain penambahan anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan serta BBP Seri Manjung. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI