fbpx

Bila penjual energy stick akan didenda?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tidak sabar mahu melihat penjual energy stick yang masih berdegil menjual produk penyedut hidung dikenakan denda maksimum RM25,000 atau masuk penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali.

Siasatan awal Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan produk tersebut bukan keluaran berdaftar oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah seperti peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Maka penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar itu melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Biarpun KKM telah memberi amaran keras kepada penjual energy stick supaya segera menghentikan penjualan produk itu dan menurunkan iklan di platform online, namun ia seolah-olah tidak menakutkan mereka.

Malah Persatuan Ahli Farmasi Malaysia mendedahkan, produk penyedut hidung itu mengandungi bahan ketagih yang boleh merisikokan kesihatan.

Bagaimanapun, energy stick berharga serendah RM2.50 dalam pelbagai perisa itu masih terus dijual. Mereka seolah-olah tidak menghiraukan amaran yang diberikan.

Asalkan mereka boleh buat duit banyak melalui penjualan energy stick terutama kepada pelajar sekolah yang dilihat lebih tertarik untuk menggunakan produk itu kononnya mampu menambah tenaga dan menghilangkan ngantuk.

Jika penjual mempunyai rasa tanggungjawab, mereka tidak menjual produk dua corong itu kepada pelajar sekolah kerana ia berisiko menjadi satu permulaan kepada remaja untuk menghisap vape ataupun menjadi penagih dadah.

Banyak lagi produk lain yang boleh dijual dan mendatangkan keuntungan, mengapa perlu memilih energy stick? Sebab mudah dan senang menarik perhatian golongan remaja yang sentiasa mahu mencuba benda baharu.

Kanak-kanak mudah terpengaruh dengan rakan sebaya mereka di sekolah yang menyedut energy stick. Sebab itu ada yang meminta ibu bapa membelikan produk itu. Bagi mereka, ia mungkin satu trend terbaharu.

Gejala ini jika tidak dikawal lebih awal, tidak mustahil ia akan menjadi barah pada masa depan. Adakah kita mahu melihat setiap kanak-kanak di hidung mereka tersumbat energy stick sepanjang masa termasuk di sekolah?

Ketika ini pun, penggunaan vape semakin berleluasa dalam kalangan remaja termasuk golongan wanita. Mereka yang tidak menghisap rokok pun turut terpengaruh. Vape dijual secara meluas kerana mendatangkan keuntungan besar kepada peniaga.

Jadi, kita tidak mahu produk penyedut hidung itu pula digunakan secara meluas dalam kalangan remaja. Langkah Kementerian Pendidikan melarang pelajar sekolah menggunakan energy stick adalah satu tindakan yang tepat.

Ada sekolah yang dilihat telah bertindak tegas dengan melakukan pemeriksaan dan merampas energy stick yang dibawa pelajar. Ibu bapa juga mula sedar bahaya penggunaan produk itu.

Cuma sekarang tindakan tegas terhadap penjual dan pembekal perlu segera diambil. Tiada pembekal atau penjual, maka permintaan tidak akan wujud. Punca masalah utama perlu dikenal pasti bagi mengatasi masalah ini.

Jangan sekadar mengulangi skrip ‘akan’, ‘akan’ dan ‘akan’ mengambil tindakan tegas terhadap penjual energy stick, tetapi tiada siapa pun dikenakan hukuman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN