fbpx
KENDERAAN beratur panjang untuk memasuki selatan Thailand di ICQS, Rantau Panjang semalam. – KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Rakyat Malaysia serbu Hatyai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RANTAU PANJANG – Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini sesak seawal pukul 7 pagi semalam apabila ramai warga tempatan mengambil peluang sempena cuti Tahun Baharu Cina untuk melancong ke Thailand.

Tinjauan Kosmo! mendapati, pelbagai jenis kenderaan terma­suk kereta dan motosikal, selain pejalan kaki dilihat menunggu giliran untuk memasuki negara berkenaan.

Seorang penduduk, Wan Zin Wan Harun, 60 berkata, rakyat negara ini dilihat lebih memilih untuk melancong ke Thailand, terutamanya Hatyai secara bermusim terutamanya pada cuti persekolahan atau perayaan tertentu.

Katanya, tarikan utama adalah makanan yang dikatakan ­lebih sedap sehinggakan ada rakyat negara ini memasuki Thailand semata-mata untuk menjamu
selera.

“Selain itu, lokasi-lokasi pelancongan di negara itu sudah ditambah baik agar lebih menarik.

“Boleh dikatakan hari ini (semalam), belum ramai rakyat negara ini memasuki Thailand. Mungkin dua atau tiga hari lagi keadaan jalan di sini akan sesak teruk dengan kenderaan rakyat Malaysia yang mahu melancong ke sana.

“Biasanya dua hari sebelum cuti umum atau dua hari selepas itu, ramai orang Malaysia memasuki Thailand. Keadaan jalan di sini akan betul-betul sesak pada musim cuti persekolahan atau perayaan,” katanya ketika ditemui semalam.

Wan Zin memberitahu, Hatyai, Narathiwat dan Krabi merupakan lokasi tumpuan rakyat negara ini setiap kali melancong ke Thailand.

Katanya, kebanyakan mereka menggunakan bas persiaran, menaiki kenderaan persendirian atau menggunakan pengangkutan awam.

“Paling ramai ke Hatyai. Ada secara rombongan dari Terengganu atau Kuantan, Pahang dan rakyat Kelantan sendiri biasanya menaiki kenderaan persendirian. Ada juga warga Thailand ambil peluang sempena cuti di negara ini untuk balik ke negara mereka bagi memperbaharui visa kerja masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, pengusaha bot tambang, Syed Azli Syed Mohamad, 50, memberitahu, bilangan orang ramai memasuki Thailand akan meningkat pada musim perayaan termasuk warga negara berkenaan yang mengambil peluang untuk pulang memperbaharui visa masing-masing.

“Sebenarnya, keadaan ini berlaku pada setiap tahun.

“Rakyat Malaysia lebih ramai ke Hatyai dan Narathiwat untuk melancong, tetapi saya sendiri tidak pasti kenapa dua destinasi itu menjadi pilihan mereka.

“Mereka akan menghabiskan dua atau tiga hari di Thailand sebelum kembali ke negara ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN