fbpx

PDRM peruntukkan RM31.44 juta untuk latihan anggota, pegawai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperuntukkan sebanyak RM31.44 juta bagi pelaksanaan latihan warga pasukan tersebut sepanjang 2024.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah tersebut meningkat RM9.35 juta berbanding RM22.09 juta pada tahun lalu.

“Sebanyak 1,968 kursus, Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) dan bengkel dirancang bagi tahun ini berbanding 1,871 kursus, LDP serta bengkel yang telah dilaksanakan pada tahun lalu.

“Peningkatan ini jelas menunjukkan bahawa PDRM serius dalam usaha meningkatkan tahap kompetensi sumber manusia,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Anjuran Jabatan Pengurusan, di Bukit Aman, pagi tadi.

Jelas beliau, jabatan Pengurusan merupakan nadi pasukan atas peranannya sebagai tunjang kepada tadbir urus PDRM.

Kata Razarudun, pengurusan dan tata kelola yang baik akan memacu kecemerlangan sesebuah organisasi.

“Bagi melahirkan warga kerja yang berkemahiran digital, tangkas, kreatif dan berupaya berfikir di luar kotak, Dasar Pembangunan Sumber Manusia (DPSM) PDRM telah dibangunkan dan ia juga bagi membudayakan nilai-nilai murni dan melahirkan pekerja yang profesional,” jelasnya.

Dalam majlis sama, Razarudin turut berkesempatan menyampaikan sijil penghargaan kepada 26 orang pegawai polis dan pegawai awam dari setiap jabatan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan masing- masing.

“Semoga penganugerahan ini menjadi inspirasi kepada warga PDRM lainnya, untuk terus menabur khidmat bakti dengan cemerlang, demi pasukan yang kita cintai ini.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada penerima,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI