fbpx

Bekalan air cukup 9 bulan sekiranya kemarau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izham ketika ditemui pemberita selepas melawat projek mitigasi banjir Klang di Alam Impian di sini, hari ini. -Foto SADDAM YUSOF

SHAH ALAM – Bekalan air kepada penduduk Lembah Klang mencukupi sehingga sembilan bulan sekiranya berlaku musim kemarau.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, ini berdasarkan kepada infrastruktur yang telah ada seperti kolam tadahan, Pusat Takungan Air Hibrid Pinggiran Sungai (HORAS) dan empangan.

Katanya, kesemua perancangan telah dibuat dalam memastikan proses kesalinghubungan supaya bekalan air dapat digunakan apabila diperlukan nanti.

“Kita telah membuat audit kolam dan tasik kita yang mampu menjana 34 juta liter kubik meter dan boleh bertahan antara dua hingga tiga bulan.

“Itu tidak termasuk HORAS. Empangan kita pula mampu bertahan sehingga enam bulan. Sekiranya dicampur akan menjadi sembilan bulan,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek mitigasi banjir Klang di Alam Impian di sini, hari ini.

Selangor secara keseluruhannya mempunyai tujuh empangan iaitu Sungai Selangor, Sungai Tinggi, Sungai Langat, Tasik Subang, Klang Gates, Batu dan Semenyih.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih kering pada bulan ini seterusnya diramalkan berlaku fenomena Monsun Timur Laut yang akan berakhir pada Mac dan fenomena El Nino.

Mengulas lanjut, Izham menjelaskan kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan National Water Balance Management (NAWABS) mengenai langkah-langkah dibuat Selangor dalam memastikan kecukupan air semasa musim banjir dan kemarau.

“Kita telah buat persediaan dan tidak tahu sejauh mana ekstrem kemarau tersebut dan mungkin tidak akan berlaku.

“Biasanya, kitaranya dalam tujuh atau lapan tahun dengan kali terakhir musim kemarau dihadapi kita adalah pada tahun 2014. Ramalan kita adalah pada 2026,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI