fbpx

10 pangkalan haram jadi sarang penyeludupan di Tanah Merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Haki (kiri) menunjukkan peta kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Tanah Merah yang menjadi lokasi tumpuan kegiatan penyeludupan di IPD Tanah Merah hari ini.

TANAH MERAH – Sebanyak 10 daripada 24 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di daerah ini dikenal pasti menjadi tumpuan kegiatan jenayah rentas sempadan terutamanya kerja-kerja penyeludupan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, sehubungan itu, pihaknya sentiasa menjalankan kawalan bagi memastikan kegiatan di kawasan sempadan dapat dikekang.

Menurutnya, tugasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah melibatkan kawasan sejauh 18 kilometer bermula dari Lalang Pepuyu sehingga Ayer Lanas.

“Terdapat kira-kira 24 pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di daerah ini, namun hanya 10 sahaja yang aktif dengan kegiatan penyeludupan.

“Banyak kegiatan dijalankan di kawasan tersebut antaranya penyeludupan pendatang tanpa izin (PATI), dadah,senjata api dan barangan kontraban,” katanya pada sidang akhbar di IPD Tanah Merah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Haki memberitahu, rondaan secara berkala sentiasa dijalankan bagi memastikan kawalan sempadan negara berada pada tahap terbaik.

Katanya, IPD Tanah Merah mengambil serius kes-kes berkait jenayah rentas sempadan yang dilihat mampu mengganggu-gugat keselamatan negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan anggota atau pegawai polis yang melanggar intergriti pasukan.

“Tindakan tegas boleh dikenakan kepada anggota atau pegawai selari dengan saranan pucuk pimpinan pasukan yang meletakkan integriti pasukan pada tahap tertinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI