LONDON – Selepas berita mengenai penghijrahan ke Ferrari tersebar, juara dunia tujuh kali Formula Satu, Lewis Hamilton akhirnya membuka mulut mengenai keputusan mengejutkan yang dibuat itu.
Selepas 11 tahun bersama Mercedes, Hamilton dijangka membuat keputusan untuk bersara selepas kontraknya bersama pasukan yang berpangkalan di Brackley itu, namun dia mengejutkan semua pihak dengan menyertai seterus utama pasukan itu.
“Beberapa hari yang cukup gila dengan pelbagai emosi yang wujud. Seperti yang anda semua tahu, selepas 11 musim yang menakjubkan bersama Mercedes, ini adalah peluang untuk saya membuka lembaran baharu karier bersama Scuderia Ferrari pada musim 2025.
“Saya rasa sangat bertuah selepas apa yang dilalui bersama Mercedes yang mana ia adalah impian saya sejak kecil dan sekarang saya bersedia untuk memenuhi satu lagi impian ketika kecil. Memandu jentera Ferrari dengan mengenakan sut merah.
“Saya tahu mungkin sesetengah orang tidak memahami mengenai keputusan yang saya lakukan ini, namun bagi saya ini adalah keputusan yang terbaik mampu saya lakukan.
“Namun, sekarang ini bukan lagi masa untuk saya fikirkan mengenai 2025. Fokus saya adalah musim baharu dan saya mahu mencari penamat istimewa bersama Mercedes. Keinginan saya untuk musim baharu nanti begitu melonjak dan bersedia membantu Mercedes sekali lagi,” katanya.
Menerusi laporan Formu1a.uno, pemandu berusia 39 tahun itu bakal menerima pendapatan terkumpul mencecah AS$100 juta setiap tahun melalui perjanjian kontrak F1 bersama Ferrari pada 2025 nanti.
Hamilton meraih ganjaran mewah itu menerusi tawaran gaji asas, penajaan, iklan, hak imej dan juga bonus perlumbaan.
Oleh itu, Hamilton akan menjadi salah seorang pemandu F1 meraih tawaran pendapatan tertinggi dalam sejarah pemandu Ferrari mengatasi rekod Michael Schumacher. – AGENSI














