fbpx

780 individu diberkas dalam operasi khas, 27kg dadah dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMAR (dua dari kanan) menunjukkan serbuk ekstasi berwarna coklat yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Seramai 780 individu termasuk tiga penjawat awam dicekup polis dalam dua operasi khas bermula Isnin hingga semalam, di seluruh negeri ini.

Dalam serbuan tersebut, polis merampas pelbagai jenis dadah seberat 27 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai hampir RM3.1 juta.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, Op Tapis Khas yang dijalankan oleh seramai 175 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik telah menjalankan pemeriksaan terhadap 513 individu.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 440 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah iaitu 55 kes bekalan dadah, 65 kes memiliki dadah dan 320 orang penagih.

“Kesemua tangkapan berusia lingkungan 18 hingga 70 tahun, seramai 36 suspek yang ditangkap akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Seramai 30 tokan telah ditangkap dan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985. Dua penjawat awam yang ditangkap kerana memiliki dadah dan positif urin,” katanya.

Dalam serbuan itu, polis merampas serbuk ekstasi seberat 23.6kg, syabu (278.26g), heroin (191.38g), ganja (210.27g), pil erimin 5 (386.99g), ketamin (997.4g) pil yaba (17.84g), pil ekstasi (9.5g) dan air ketum sebanyak 15 liter.

Polis turut menyita tujuh kenderaan dan wang tunai bernilai RM82,314.

Dalam operasi bersepadu bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula, Kumar berkata, ia melibatkan 210 pegawai dan anggota kedua-dua badan keselamatan telah menjalankan pemeriksaan ke atas 351 individu pada Jumaat dan Sabtu lalu di seluruh negeri ini.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 340 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah iaitu 35 kes bekalan, 56 memiliki dadah dan 249 orang penagih.

“Kesemua tangkapan berusia 18 hingga 70 tahun, enam daripadanya adalah warga asing. 21 suspek yang ditangkap akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, 17 yang ditahan merupakan orang dikehendaki.

“Seorang penjawat awam itu ditahan kerana memiliki dadah dan positif urin. Polis turut merampas pelbagai jenis dadah jenis syabu, pil erimin 5, pil ekstasi dan pil yaba dengan berat lebih 550g dengan nilai RM39,060,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI