fbpx

Piala Asia: Jepun enggan dilabel pilihan utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DOAN (tengah) berjaya meledak satu gol buat Jepun ketika menewaskan Bahrain untuk menempah tiket suku akhir Piala Asia 2023. – AFP

DOHA – Kejayaan layak ke suku akhir masih tidak menjamin apa-apa buat Jepun dan kaptennya, Wataru Endo merasakan pasukan itu belum layak untuk dilabel sebagai pilihan utama menjuarai Piala Asia kali ini.

Daripada empat perlawanan yang dilalui termasuk menewaskan Bahrain 3-1 pada pusingan 16 terbaik di Stadium Al Thumama kelmarin, Samurai Biru masih lagi gagal menamatkan aksi tanpa bolos yang menyaksikan gawang mereka bocor ­sebanyak enam kali.

Bintang Liverpool itu menganggap Jepun masih mempunyai kelemahan yang mendedahkan mereka ­dengan risiko kekalahan, malah merasakan setiap pasukan kini sedang mengkaji corak per­mainan pasukannya.

“Pasukan lawan sedang me­lakukan analisis dan cuba mencari kelemahan yang boleh mereka eksploitasi. Pasukan-pasukan yang masih kekal sedang memerhatikan kami, jadi sudah pasti ia bukan tugas mudah untuk kami bertahan.

“Paling penting adalah kami tidak boleh hilang fokus dan menang dalam setiap perlawanan yang dihadapi,” katanya.

Tiga gol Jepun kelmarin dijaringkan Ritsu Doan, Takefusa Kubo dan Ayase Ueda, manakala kesilapan penjaga gawangnya, Zion Suzuki menghadiahkan ja­ringan sagu hati buat Bahrain.

Situasi semasa menjadikan peluang Jepun bergelar juara masih lagi samar, namun perkara positif adalah kehadiran semula bintang Brighton, Kaoru Mitoma sejak dihimpit kecederaan buku lali pada Disember tahun lalu.

“Ia belum lagi sempurna dan kami kena bertindak balas atas setiap gol yang kami bolos,” kata pengendali Jepun, Hajime ­Moriyasu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI