IPOH – Ibu tunggal dan anak perempuannya yang berusia 15 tahun antara sembilan individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu skim pelaburan.
Selain wanita berusia 47 tahun itu, turut didakwa ialah R. Tharumaraj Pillai, 34, R. Vassanthakumar, 24, J. Subash Kavnder, 25, Muhammad Hafizuddin Muhammad Rafi Keettikandy, 24, Hema Tharshini, 26, C. Kasturi, 20, dan S. Dhaarshini, 24.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara serentak di hadapan Majistret S. Punitha.
Mereka didakwa melakukan penipuan skim pelaburan dikenali Bristol Myers Squibb/BMS Providers Resources di sebuah rumah di Lingkaran Meru Valley, Meru Valley Resort di sini pada 17 Januari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan atau denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vathira Wong Rui Fern sementara kesemua tertuduh diwakili peguam, R.S. Kirthiraj.
Terdahulu, Vathira Wong mencadangkan jaminan RM8,000 kepada setiap tertuduh dewasa manakala jaminan RM5,000 pula untuk tertuduh bawah umur.
Bagaimanapun, Kirthiraj memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya daripada gologan berpendapatan rendah, mempunyai tanggungan keluarga, tiada pekerjaan tetap dan tidak bersekolah.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,500 kepada setiap tertuduh, manakala jaminan RM2,000 pula terhadap tertuduh berusia 15 tahun. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 April ini.- KOSMO! ONLINE