fbpx

Fariz Hazurin dekati belia menerusi kuasa muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Fariz Hazurin menceburi bidang muzik, sekali gus mewarnai industri seni hiburan tempatan.

BERGELAR seorang ahli politik tidak menjadi penghalang buat Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Fariz Hazurin untuk menceburi bidang muzik, sekali gus mewarnai industri seni hiburan tempatan.

Bukan niat untuk bersaing dengan penyanyi lain sedia ada, Fariz, 33, sebenarnya mempunyai matlamat tersendiri yang ingin dicapai iaitu untuk mendekati golongan muda menerusi muzik.

Kata Fariz, walaupun bidang politik merupakan kerjaya sepenuh masanya, sebagai perwakilan kepada anak-anak muda, dia perlu mendekati golongan tersebut dengan pendekatan tersendiri, agar tidak kelihatan canggung di mata mereka.

“Bidang politik merupakan kerjaya sepenuh masa saya. Apabila terjun ke dalam bidang ini (politik), suka atau tidak, saya perlu mendekati anak muda.

“Apa yang saya nampak, generasi muda ini tidak lagi berminat ke arah politik. Jadi saya cuba ‘pancing’ mereka dengan muzik.

“Saya memilih muzik hip-hop kerana genre itu menjadi kegemaran generasi muda berbanding lagu bergenre balada,” katanya yang bergiat aktif dalam arena politik sejak setahun lalu.

Pada masa sama, Fariz juga menafikan cakap-cakap yang mengatakan bahawa, dia sengaja memilih dunia nyanyian semata-mata untuk mengejar populariti, sekali gus meraih perhatian masyarakat tentang statusnya sebagai seorang ahli politik.

 FARIZ dan Fhan muncul dengan lagu berjudul Subang yang didedikasikan buat tunggak masa depan negara iaitu golongan belia. – M. Firdaus M. Johari

Katanya, dia tidak mahu muzik hanya dilihat sebagai hiburan semata-mata, tetapi muzik perlu ada visi dan matlamat yang hendak dicapai.

Ketika berkarya, Fariz mengelak daripada menggunakan bahasa kesat dalam lagu, seperti kelazimannya yang terkandung dalam lirik lagu hip-hop dari negara Barat.

“Saya tidak menyokong penggunaan bahasa kesat dalam lagu. Mesej juga boleh disampaikam dalam bentuk metafora. Apa yang penting, masyarakat faham.

“Lagi pun, saya tidak mahu lagu dengan kata-kata kesat menjadi ikutan. Sebagai pemimpin kecil dan bapa, saya mahukan sebuah karya yang memberi mesej positif dan inspirasi kepada anak-anak muda,” tegasnya.

“Saya akan pastikan lirik yang kami luahkan dalam lagu kena ada batasnya.

“Boleh buat lagu dan berkarya, namun kena ingat bahawa lagu ini nanti akan didengari oleh anak muda. Mesej yang disampaikan haruslah memberikan tauladan yang baik,” katanya

Mewakili anak muda, Fariz juga cuba untuk membantu golongan tersebut menyuarakan pendapat dan hasrat mereka, lebih-lebih lagi selepas dia mendapati golongan belia di negara ini sudah mula bangkit untuk berada di hadapan.

“Saya banyak menghabiskan masa dengan mendekati anak muda. Belia hari ini mahu suara mereka didengari. Malah, golongan muda ini juga sudah mula mahu diri mereka diangkat.

“Jadi saya rasa terpanggil untuk menjadi salah seorang pemimpin kecil dan mendengar suara mereka, sekali gus mengangkat suara generasi belia hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI