PUTRAJAYA – Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Bidor, Perak malam tadi berjaya ditahan semula, manakala 126 lagi tahanan masih diburu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, keempat-empat tahanan itu ditahan kira-kira pukul 4 petang tadi.
“Kita masih belum dapat kenal pasti empat individu yang ditahan ini. Mereka akan dibawa ke depoh untuk dokumentasi ,” katanya pada sidang akhbar di sini tadi.
Katanya, dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di depoh terbabit cedera ringan akibat insiden berkenaan.
Ruslin berkata, ketika rusuhan itu, tahanan dikesan merempuh pintu sel dan pagar selain turut membaling batu ke arah petugas.
“Buat masa ini, usaha mengesan baki tahanan yang masih bebas sedang giat dilaksanakan dengan bantuan pasukan keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE














