fbpx

Stesen minyak disyaki bersubahat sindiket seleweng minyak diesel diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lori yang terlibat dalam penyelewengan minyak diesel membabitkan sebuah stesen minyak berjenama di Ayer Tawar.

MANJUNG – Sebuah stesen minyak berjenama yang disyaki terlibat sindiket menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Ayer Tawar di sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam dengan nilai sitaan dalam operasi tersebut mencecah RM83,125.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan di bawah Ops Tiris 3.0 tersebut dilakukan kira-kira pukul 9 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Manjung.

Beliau berkata, operasi itu adalah hasil maklumat orang awam dan risikan yang dijalankan oleh pasukan perisikan KPDN Cawangan Manjung selama dua minggu di sekitar Ayer Tawar.

“Melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan cara membuat pengisian minyak diesel ke tangki asal lori muatan tiga tan yang telah diubah suai, dengan sambungan paip terus ke tangki square tank yang disembunyikan di atas lori.

“Pengisian dianggarkan adalah sebanyak antara 500 hingga 1,000 liter sekali pengisian di stesen minyak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamalludin berkata, siasatan juga mendapati, pemandu kenderaan itu kemudiannya akan menjual minyak diesel berkenaan kepada pasaran gelap yang disyaki melibatkan beberapa syarikat di sekitar Pantai Remis pada harga lebih tinggi.

Beliau memberitahu, minyak diesel bersubsidi yang dibeli di stesen minyak dengan harga RM2.15 per liter boleh dijual di pasaran gelap pada harga RM3 hingga RM4 per liter mengikut harga pasaran minyak diesel industri.

“Semakan awal juga mendapati syarikat kepada kenderaan lori ini tidak mempunyai apa-apa kebenaran atau permit yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia untuk membeli minyak diesel dalam suatu kuantiti yang banyak.

“Hasil pemeriksaan juga telah menemui anggaran sebanyak 3,500 liter cecair yang disyaki minyak diesel di dalam empat tangki square tank yang berada di dalam lori,” katanya.

Kamalludin berkata, cecair yang disyaki minyak diesel serta kenderaan lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pum, wayar hose dan lain-lain telah disita untuk tindakan selanjutnya.

Menurut beliau, seorang pemandu dan pengusaha stesen minyak warga tempatan masing-masing berumur 40-an dan 20-an tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut dengan nilai sitaan adalah dianggarkan berjumlah RM83,125.

“Stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada, termasuklah syor pembatalan Lesen CSA Runcit barang kawalan minyak diesel jika didapati bersalah terlibat dalam penyelewengan ini,” katanya.

Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI