fbpx

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khamal Idris.

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman (KDA) FC hari ini mengumumkan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab bola sepak itu, Khamal Idris Ali yang menyandang jawatan itu sejak empat tahun lalu.

Menurut KDA FC dalam satu kenyataan di sini hari ini, Khamal Idris mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan diceburi setelah menabur bakti kepada kelab tersebut.

“Peletakan jawatan ini juga diambil atas rasa tanggungjawab untuk membuka peluang kepada yang lebih berkelayakan dan berkemampuan mengemudi KDA.

“Ini adalah satu kehilangan besar buat arena bola sepak negeri Kedah di mana kita dapat melihat banyak perkembangan serta pembaharuan yang telah dilaksanakan sejak beliau dilantik ke jawatan itu,” katanya.

Katanya, pelbagai pembaharuan dan kejayaan dibawa oleh Khamal Idris antaranya membawa pasukan Liga Super Kedah muncul naib juara pada 2020 dan 2021 serta layak ke separuh akhir Piala AFC 2022.

Bekas pemain bola sepak Kedah itu juga mengambil inisiatif mewujudkan Pejabat Pengurusan KDA FC di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

“Khamal Idris turut mewujudkan Kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis meliputi bidang kejuruteraan, perubatan, saintis sukan, pemasaran dan bidang psikologi.

“Beliau juga mendapatkan kerjasama bersama penaja-penaja, rakan rasmi dan rakan strategik pada setiap tahun serta membantu menaik taraf segala kelengkapan pusat latihan, pusat kecergasan dan pemulihan pemain dengan skala besar yang pertama kali diwujudkan di Stadium Sultan Abdul Halim,“ jelasnya.

Tambahnya, Khamal Idris mengetuai proses perlesenan kelab yang telah memberikan KDA FC lesen untuk bertanding di Liga Malaysia dan juga Piala AFC selama tiga tahun berturut-turut.

“Beliau turut merancang dan dalam peringkat rundingan jalinan perniagaan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bagi mewujudkan ‘vending-machine’ KDA FC kepada lebih 500 sekolah di negeri ini.

“Selain itu beliau bertanggungjawab menubuhkan KDALicious iaitu perniagaan makanan dan minuman serta KDA Official Merchandise iaitu perniagaan barangan cenderahati kelab untuk penjanaan pendapatan kelab,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI