fbpx

Pengecas telefon punca rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mek Kaji menunjukkan salah sebuah motosikalnya yang hangus dalam kebakaran di Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas hari ini. FOTO ROHANA ISMAIL/KOSMO!

PASIR MAS – Sebuah keluarga di Kampung Chicha Tinggi di sini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka terbakar selepas sebuah telefon pintar yang dicas di dalam sebuah bilik meletup dan mengeluarkan percikan api.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi tadi itu berlaku selepas telefon milik Mohd. Zulhelmi Zakaria, 33, secara tiba-tiba terbakar ketika dicas di atas tilam.

Ibunya, Mek Kaji Waman, 68, berkata, kebakaran itu disedari oleh Mohd. Zulhelmi yang tersedar daripada tidur akibat bahang panas.

“Percikan api yang keluar dari pengecas telefon itu telah terkena pada tilam dan kemudiannya terbakar.

“Mohd. cuba memadamkan api, namun gagal apabila ia terus marak sebelum menyambar kelambu,” katanya ditemui pemberita hari ini.

Mek Kaji memberitahu, dia tiada di rumah semasa kejadian kerana keluar menghantar kuih di kedai yang terletak tidak jauh dari kediamannya.

Katanya, dia bersyukur kerana Mohd. Zulhelmi bertindak pantas dengan mengejutkan kakaknya, Zetty Suriani, 33, bersama suami dan dua anak untuk segera menyelamatkan diri.

“Semua barangan tidak sempat diselamatkan termasuk tiga buah motosikal. Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian ifu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Azmi Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.49 pagi dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, rumah itu hangus sebanyak 90 peratus semasa bomba tiba di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI