fbpx

Ibu mengaku simbah air panas, anak tonton video tidak senonoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang wanita lima anak dipenjara tiga tahun selepas mengaku bersalah menyimbah air panas terhadap anaknya gara-gara geram mangsa menonton video lucah di telefon bimbit miliknya, dua tahun lalu.

Hakim Mohd. Sabri Ismail menetapkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 38 yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya yang ketika kejadian berusia 13 tahun dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2.56 pagi di sebuah rumah di taman perumahan kakitangan kerajaan di Sungai Udang pada 27 Jun 2022.

Difahamkan, tertuduh bertindak demikian selepas berang mangsa yang merupakan anak kedua daripada lima beradik telah menggunakan data internet telefon bimbitnya untuk menonton video lucah.

Tindakan tertuduh bagaimanapun terbongkar selepas rakan anaknya menyedari pakaian sekolah dipakai mangsa mempunyai kotoran kesan luka dan melaporkan kejadian kepada ibunya, yang merupakan pengadu dalam kes pendakwaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman minima diberikan dengan alasan dia mempunyai tiga anak kecil berusia enam dan empat tahun serta enam bulan. Jelasnya, anaknya berusia enam tahun itu merupakan kanak-kanak autism.

Tambahnya, dia juga merupakan pesakit psikiatri dan mengalami tekanan yang teruk sejak kejadian sehingga dos pengambilan ubatnya dinaikkan oleh doktor daripada 50 miligram kepada 100 miligram setiap hari.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman tiga tahun daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 8 Julai 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI