fbpx

Trend graduasi di hotel, JPN Melaka keluar garis panduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAHMAD ketika ditemui pemberita selepas menyantuni calon SPM 2023 di SMK Rahmat di Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka. -foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

ALOR GAJAH – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka akan mengeluarkan surat arahan mengenai garis panduan majlis graduasi atau konvokesyen pelajar agar tidak membebankan golongan ibu bapa.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu merupakan respons yang dibuat mengenai trend mengadakan majlis konvokesyen di hotel yang menjadi ikutan sejak kebelakangan ini.

Kata beliau, JPN negeri tidak menghalang pihak sekolah untuk mengadakan majlis untuk meraikan pelajar, namun ia perlulah dibuat secara bersederhana dengan perbelanjaan yang minimum.

“Pandangan saya dan jabatan adalah boleh diadakan hari graduasi tapi tidak digalakkan secara besar-besaran dan tidak dibuat di hotel.

“Buat sahaja di sekolah dalam skala sederhana dengan perbelanjaan yang minimum, jangan sampai membebankan ibu bapa,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rahmat di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat rungutan dalam kalangan ibu bapa mengenai kos penganjuran hari graduasi pelajar yang tinggi berikutan majlis itu diadakan di hotel-hotel.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar para pelajar yang akan menamatkan peperiksaan SPM untuk tidak meraikannya secara berlebihan atau berpesta sehingga menyebabkan berlaku masalah sosial.

“Jangan sampai berlaku masalah sosial, sambutlah kejayaan tamat sekolah menengah ini dengan rasa kesyukuran dan dan berterima kasih lah kepada guru,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI