Manusia dan kebebasan berpisah tiada. Ia adalah konsep ‘azali’ tanpa perlu dipelajari, merentasi masa dan jagat.
Kereta anda yang masih menggunakan bahan api fosil itu juga adalah simbol atau ‘epitome’ kebebasan dan ini adalah satu kenyataan.
Detik sedih, gembira, anda bujang atau sudah berpasangan, balik kampung atau healing, kereta anda membawa anda ke mana sahaja yang diinginkan.
Anda hanya perlu berhenti sekejap di stesen minyak dan rata-rata proses ini tidak lebih 10 minit.
Selepas itu, pandulah anda dan pandu. Jika ini bukan kebebasan, apakah ia?
Namun, kini ada pihak berkepentingan dan bermotifkan keuntungan, menjadikan alasan pencemaran udara untuk mengekang kebebasan tersebut.
Mereka menampilkan ideologi tidak praktikal dinamakan kenderaan elektrik(EV) sebagai jalan penyelesaian tunggal kepada masalah udara tercemar.
EV bukan satu-satunya jawapan kepada masalah pencemaran bahan api fosil dan ia mahal. Tidak percaya? Tanyalah kepada Toyota.
Harga kereta ‘marhaen’ Proton Saga cuma sekitar RM35,000 sedangkan harga kereta EV paling murah di negara ini pula ialah RM100,000 dan lebihan RM65,000 itu boleh dijadikan ‘duit minyak’ untuk berapa lama?
Sebuah EV mempunyai jarak pemanduan purata 400 hingga 500 kilometer, namun ia cuma jarak di atas kertas.
Bayangkan anda bersaing balik kampung ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur yang terkenal ‘jem teruk’ dengan saudara anda yang memandu kereta petrol untuk pulang beraya.
Berapa lama agaknya masa yang terbuang untuk mengecas bateri EV anda.
Agaknya siapa yang akan sampai dulu?
Negara kuasa ekonomi juga berlumba-lumba memperkenalkan model EV baharu setiap beberapa bulan.
Namun, pernahkah anda melihat syarikat membuat pesawat seperti Boeing dan Airbus mengeluarkan pesawat komersial EV?
Atau pengeluar senjata memperkenalkan kereta kebal, kereta perisai atau kenderaan pengangkut tentera berkuasa EV.
Bayangkan divisyen kereta kebal EV mara ke medan perang. Siapa yang akan menang?
Sebenarnya, terdapat beberapa teknologi lain yang boleh menggantikan EV seperti gas asli. Kereta hibrid keluaran Toyota yang boleh mengecas ‘dirinya’ sendiri juga dianggap alternatif paling baik kepada EV.














