KLUANG – Pembinaan jalan baharu daripada Jalan Mersing – Kluang hingga ke Kampung Orang Asli Sungai Peroh dilihat sebagai ‘petaka’ baharu yang akan muncul setiap kali tiba musim monsun timur laut sekiranya tidak dilakukan mengikut perancangan sewajarnya.
Paras jalan baharu sedang dibina ini dilihat lebih tinggi dari jalan terdahulu yang dikatakan berperanan untuk mengelakkan laluan itu ditenggelami banjir, namun telah menyebabkan takungan lebih besar di dalam kebun kelapa sawit dan berkemungkinan merebak hingga ke kawasan kampung.
Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Mahat Maya, 52, berkata, tidak mustahil juga jalan baharu itu turut akan tenggelam seperti jalan lama walaupun sudah ditinggikan hampir dua meter kerana saluran pembentung yang disediakan hanya enam daripada 12 yang sedia ada sebelum ini.
Katanya, jika 12 saluran pembentung yang berperanan mengalirkan air di jalan lama juga menyebabkan laluan itu tenggelam apatah lagi dengan hanya enam sekarang ini.
“Bukan kami menolak pembangunan, namun biarlah mengikut perancangan sewajarnya kerana bimbang apa yang cuba diatasi akan mewujudkan masalah baharu disamping masalah lama turut tidak selesai.
“Oleh itu, kami mengharapkan beberapa penambah baik terhadap jalan baharu yang sedang dalam pembinaan sekarang perlu dilakukan dengan turun padang melihat situasi sebenar apabila hujan lebat dan air sungai di bahagian hulu melimpah,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut Mahat lagi, melihat kepada keadaan air yang bertakung di jalan lama sekarang ini, pihaknya menjangkakan sekurang-kurang tiga minggu lagi untuk airnya kering dan membolehkan penduduk keluar menggunakan kenderaan darat.
Ujarnya, jangkaan itu diramal sekiranya tiada lagi berlaku hujan lebat berpanjangan dalam masa terdekat ini dan pihaknya akan terus terputus hubungan sekiranya terjadi sebaliknya.
“Kami amat harapkan pihak berkaitan dapat turun ke kawasan kampung dalam masa terdekat ini bagi melihat sendiri takungan air yang masih melaut di dalam kebun kelapa sawit akibat daripada aliran air keluar perlahan dan memerlukan masa lebih lama untuk kering,” katanya.














