fbpx

Bekas sukarelawan dihadap 38 pertuduhan palsu cek RM140,975

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (baju merah) menutup wajahnya daripada dirakam jurugambar ketika di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. Foto olrh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Seorang bekas sukarelawan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 38 pertuduhan memalsukan cek milik PDK bernilai RM140,975, antara tujuh hingga lapan tahun lalu.

Tertuduh, Jasmizatul Syuhada Jamaluddin, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan curangnya telah menggunakan 38 cek Bank Islam berjumlah RM140,975 yang diketahuinya palsu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Bank Islam cawangan Bandar Perda, Bukit Mertajam, Daerah Seberang Perai antara 9 Mei 2016 hingga 24 April 2017.

Bagi kesemua kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee mencadangkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan beserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran.

Zulhazmi membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin dan diperintahkan mematuhi syarat tambahan pihak pendakwaan. Mahkamah menetapkan 19 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI