fbpx

Gangguan air punca tekanan emosi pengguna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Gangguan bekalan air membabitkan 200,000 pengguna di Pulau Pinang terutama di daerah Barat Daya dan beberapa kawasan di Timur Laut, sejak petang Selasa lalu sememangnya menguji tahap kesabaran semua penduduk yang terjejas.

Kali ini, kejadian paip bocor di dasar Sungai Perai bukanlah yang pertama berlaku, malah merupakan kali ketiga pengguna terutama di kawasan Bayan Lepas, Sungai Ara, dan Teluk Kumbar terpaksa menunggu sehingga lebih 90 jam. Kejadian pertama pada Disember tahun lalu dan kedua pada 12 Januari lalu.

Semestinya, emosi rakyat terkesan kini menjadi tidak stabil selain perasaan amarah dan kecewa makin menggelegak meskipun mengetahui puncanya di luar jangkaan.

Pensyarah Kanan (Bimbingan & Kaunseling), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah berkata, air merupakan sumber asas yang dinamakan sebagai keperluan fisiologi dalam hierarki keperluan maslo.

Menurutnya, ia berada pada tahap paling asas untuk keperluan manusia termasuk udara, tempat tinggal dan makanan.

“Selagi keperluan manusia tidak dipenuhi pada peringkat awal, maka akan memberikan cabaran kepada individu tersebut untuk bergelut dengan situasi bagi memenuhi keperluan fisiologinya.

“Dalam hal ini, krisis gangguan bekalan air boleh mengakibatkan tekanan emosi disebabkan stres dan juga rasa tidak selesa sehingga boleh mewujudkan rasa marah, tidak puas hati dan pertelingkahan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan jika gangguan emosi akibat gangguan bekalan air berlaku secara berulang-kali atau berterusan, maka ia akan menyumbangkan kepada peningkatan jumlah pesakit yang perlu mendapatkan rawatan psikologi.

“Sebenarnya, jika dilihat trend masyarakat hari ini, terdapat banyak perkara berkaitan dengan tekanan emosi dan tingkah laku yang tidak sewajarnya dikaitkan dengan keadaan tersebut (gangguan bekalan air).

“Kita perlu melihat tahap gangguan emosi, adakah di peringat rendah, sederhana atau tinggi. Jika tekanan emosi tersebut berlaku berulang-kali berpunca daripada masalah gangguan bekalan air, tidak hairanlah kalau kita katakan boleh jadi punca berlakunya ketidaksejahteraan psikologi dalam diri dan keluarga. Memang boleh sumbang akan perkara itu (peningkatan kes membabitkan psikologi).

“Masalah psikologi berlaku akibat kemurungan, tekanan emosi dan lain-lain perkara di luar kawalan,” ujarnya.

Sebagai rumusan kerajaan perlu merangka atau memberi panduan kepada pengguna tentang masalah yang dihadapi serta langkah untuk mengatasinya supaya dapat meredakan kegelisahan, stres dan tekanan emosi dalam kalangan pengguna.

Bagi penulis yang juga pengguna akaun yang terkesan di daerah Barat Daya, perasaan trauma, mudah sensitif dan kecewa menjadi semakin sebati di dalam diri setiap kali berdepan gangguan bekalan air memandangkan proses mendapatkan bantuan air ke kawasan rumah dikatakan perlu melalui individu berpengaruh atau orang politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN