fbpx

‘Angin’ perang saudara di Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN Pengawal Kebangsaan Texas mengambil alih kawalan sempadan di Eagle Pass. – AFP

WASHINGTON – Terdapat amaran Amerika Syarikat (AS) boleh terjerumus ke dalam ‘perang saudara’ berhubung konfrontasi antara Austin dan Washington membabitkan isu kebanjiran pendatang tanpa izin ke negeri Texas, lapor portal berita news.com kelmarin.

Konfrontasi berlaku di sebuah taman di Texas dan mencetuskan kebimbangan orang ramai selepas mereka melihat pasukan bersenjata negeri dan persekutuan di ambang konflik terbuka antara satu sama lain.

Biro Rondaan Sempadan (USBP) dan pasukan separa tentera, Pengawal Kebangsaan ­Texas kini dalam konfrontasi terbuka yang mencetuskan kebimbangan siapa yang akan melakukan kesilapan seperti melepaskan tembakan pertama.

Pusat perbalahan ialah Taman Shelby iaitu kawasan yang terletak di pekan Eagle Pass sekitar 230 kilometer ke barat daya bandar raya San Antonio di Texas.

Pekan itu dan tamannya berada di tebing Sungai Rio Grande yang menandakan sempadan AS dan Mexico.

Adalah menjadi tugas anggota USBP untuk meronda sempadan. Bagaimanapun, awal bulan ini kerajaan negeri Texas memberi kuasa kepada pasukan Pengawal Kebangsaan untuk mengambil alih kawalan taman di tepi sungai tersebut.

Tentera Pengawal Kebangsaan telah meletakkan pagar kawat berduri dalam usaha mengurangkan bilangan pendatang tanpa izin menyeberangi Sungai Rio Grande dan memasuki AS secara haram melalui taman tersebut.

Kerajaan persekutuan memberi amaran keras dan menuntut Texas merobohkan kubu sempadan haram itu atau berdepan dengan tindak balas Washington DC.

Pada bulan lalu, seramai 225,000 pendatang tanpa izin menyeberangi sempadan secara haram, kebanyakan mereka menyeberangi Sungai Rio Grande yang berbahaya.

Gabenor Greg Abbott sebelum ini menuduh Presiden Joe Biden yang mengetuai kerajaan Demokrat di Washington DC, tidak melakukan tindakan mencukupi untuk menghentikan ­aliran pendatang tanpa izin sekali gus memaksa Texas mengambil tindakan sendiri.

Kerajaan persekutuan, sebaliknya mendakwa gabenor daripada parti pembangkang itu, Parti Republikan memburukkan lagi isu sempadan dengan tidak meluluskan rang undang-undang keselamatan dipertingkatkan.

Terdapat juga tuduhan bahawa calon pilihan raya Pre­siden, Donald Trump secara aktif menggalakkan Parti Republikan menghalang sebarang perjanjian mengenai sempadan dibuat di Kongres supaya ia boleh dijadikan isu pilihan raya.

AS akan mengadakan pilihan raya Presiden pada November 2024.

Pentadbiran Biden membawa perbalahan itu ke Mahkamah Agung pada minggu lepas. Mahkamah Agung kemudian memutuskan kerajaan persekutuan mempunyai hak dalam pertikaian itu dan mengarahkan kerajaan Texas mengalihkan tembok berduri di Taman Shelby.

Ia merupakan kemenangan besar buat Biden kerana Mahkamah Agung diwakili oleh tiga hakim yang dilantik oleh Trump sendiri ketika beliau memegang jawatan Presiden AS.

Bagaimanapun, isu tersebut tidak berakhir di situ selepas pasukan Pengawal Kebangsaan Texas mendirikan lebih banyak tembok kawat berduri sekali gus mengingkari Mahkamah Agung.

Situasi menjadi lebih buruk apabila sebilangan besar gabenor negeri AS daripada Parti Republikan menyokong Texas dan berkata, mereka bersedia menghantar lebih banyak kawat berduri jika diperlukan.

Abbott pula menggunakan bahasa ketenteraan dan berkata, Pengawal Kebangsaan akan ‘mengetuai barisan’ di Eagle Pass dan ‘tidak akan berundur’.

Ia menimbulkan kegusaran dalam kalangan pemimpin Parti Demokrat yang melihat tindakan itu sebagai ‘teater politik tulen’.

“Gabenor Greg Abbott menggunakan Pengawal Kebangsaan Texas untuk menghalang tugas USBP dan mewujudkan huru-hara di sempadan,” kata ahli kongres daripada Parti Demokrat Joaquin Castro.

Beliau mencadangkan supaya Pengawal Kebangsaan Texas diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI