fbpx

Sungai Gong tercemar akibat tumpahan diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota LUAS memasang oil boom bagi menyekat pencemaran diesel tersebut.

SHAH ALAM – Tumpahan minyak diesel daripada sebuah premis penyelenggaran jentera di kawasan perindustrian Rawang dekat sini menyebabkan pencemaran bau di Sungai Gong di sini semalam.

Pengesanan bau tersebut dibuat kira-kira pukul 3 petang hasil rondaan dan pemantauan dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Bagaimanapun, tiada penutupan Loji Rawatan Air (LRA) dan gangguan bekalan air dilaporkan selepas mitigasi segera dilakukan LUAS bagi mengatasi masalah tersebut.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, siasatan LUAS mendapati terdapat sekitar 12 buah tangki minyak diesel berkapasiti 17,000 liter setiap satu ditemui di premis tersebut.

Katanya, LUAS telah mengarahkan premis berkenaan menghentikan aliran berkaitan dan melakukan pembersihan serta-merta.

“LUAS telah meletakkan secara keseluruhan tiga unit oil boom dan sejumlah 30 unit oil pad dan 15 beg activated karbon (AC) seberat 375 kilogram di kawasan premis dan aliran Sungai Gong bagi memastikan aliran tercemar kesan minyak dapat diperangkap daripada mengalir ke hilir dan dinyah bau.

“Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) juga telah beberapa bag AC sebagai langkah nyah bau di kawasan stesen pemantauan (RMS) Sg. Gong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jarak lokasi penemuan bau tersebut dengan LRA Rantau Panjang adalah kira-kira 16.15 kilometer dengan tempoh perjalanan aliran sekitar 11 jam.

Jamaliah bagaimanapun, berkata bacaan satu ton telah dikesan Air Selangor di muka sauk LRA Rantau Panjang kira-kira pukul 10.30 malam tadi kesan dari aliran pencemaran yang terlepas sebelum kawalan diaktifkan.

Sehubungan itu, LUAS dengan segera mengaktifkan pengepaman air mentah daripada kolam sumber air alternatif KL Larut dan Hang Tuah
sebanyak 534 juta liter sehari (JLH) untuk meningkatkan kadar pencairan di dalam sungai.

Pembukaan pintu baraj sungai juga diselaraskan bagi mempercepatkan aliran tercemar tersebut melepasi kawasan muka sauk loji.

“Tindakan segera LUAS tersebut berjaya membantu apabila bacaan bau sifar ton mula direkodkan berturut sebanyak tiga kali bermula pukul 11.30 malam tadi. Air mentah berjaya disalurkan semula kepada LRA bermula pada pukul 12.30 tengah malam,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata beliau, kerja-kerja penyedutan dan pembersihan sisa minyak di premis terlibat serta di kawasan peletakkan oil boom di aliran Sungai Gong selesai antara pukul 12.45 tengah malam sehingga 2.30 pagi tadi.

“Sebanyak 4 tong dram dan 2 tangki Intermediate Bulk Container (IBC) aliran tercemar telah disedut dan dibersihkan sepenuhnya.

“LUAS telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 selain Majlis Perbandaran Selayang juga akan mengambil tindakan berkaitan di bawah bidang kuasanya terhadap premis itu,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI