fbpx

Gema muzik 5 dekad Sweet Charity malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Sweet Charity tetap teruja untuk kembali mengadakan konsert di Kuala Lumpur dan menganggap peluang tersebut ibarat pucuk dicita ulam mendatang. – SADDAM YUSOFF

OTAI masih berbisa. Barangkali itu ungkapan sesuai menggambarkan betapa kuatnya pengaruh kumpulan muzik tersohor, Sweet Charity memperjuangkan muzik rock sejak lebih 50 tahun lalu.

Kumpulan yang dianggotai vokalis ‘papa rock’, Datuk Ramli Sarip bersama barisan pemuzik, Rosli Mohalim (gitaris), Ahmad Jaafar (keyboard) dan Rahman Sarbani (dram) itu masih gigih memperjuangan muzik mereka sehingga kini.

Belum lelah untuk terus menghiburkan peminat, Sweet Charity yang popular memperjuangkan muzik bergenre rock dan malar segar itu bakal menghiburkan peminat setia mereka pada 26 Januari 2024 (malam ini) bertempat di Zepp, Kuala Lumpur, menerusi konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity.

Menariknya, penganjuran konsert kumpulan yang diasaskan dari Singapura itu adalah rentetan daripada kejayaan persembahan mereka di Stadium Merdeka pada 2011 yang berjaya mencetuskan fenomena luar biasa ketika itu.

Ramli selaku vokalis mengakui dia tidak pernah terfikir usia kumpulan yang ditubuhkan sejak tahun 1969 itu, akan bertahan sehingga ke hari ini.

“Perjalanan Sweet Charity sangat panjang. Saya sendiri sebenarnya tidak menyangka, kumpulan ini mampu ‘berjalan’ sejauh ini iaitu melepasi usia 55 tahun.

“Saya pernah berbual bersama dengan anggota lain, untuk mencapai usia lebih 50 tahun, adalah satu angka yang tidak pernah kami fikirkan. Alhamdulillah, Sweet Charity masih lagi ‘bernafas’ sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Kata vokalis berusia 71 tahun itu lagi, dia turut berterima kasih dan menghargai sokongan setia peminat mereka yang masih ‘tersisa’ untuk terus menghargai bakat dan perjuangan yang mereka bawakan.

“Konsert ini menjadi sebuah kejayaan bagi kami untuk terus memperjuangkan muzik yang kami bawakan.

“Muzik dan seni menyatukan kita semua. Manakala lagu yang kami bawakan pula, meninggalkan kesan positif kepada pendengar,” katanya.

Bercakap tentang konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity, Ramli menjanjikan persembahan yang bakal mereka sajikan nanti, bukan satu persembahan biasa.

SEBANYAK 25 buah lagu bakal didendangkan Sweet Charity menerusi persembahan yang berlangsung selama dua jam di Zepp Kuala Lumpur malam ini.

Kenang nostalgia

Ujarnya, setiap lagu yang dibawakan nanti, mempunyai mesej positif dengan pengertian tersendiri.

“Saya janjikan persembahan nanti, bukan satu persembahan biasa. Tetapi ada mesej dan nilai tersendiri. Begitu dengan dengan perjalanan setiap seorang daripada anggota Sweet Charity.

“Masing-masing mempunyai perjalanan hidup mereka. Banyak yang telah dikorbankan untuk membahagikan masa antara muzik, keluarga dan juga kerjaya hakiki.

“Hanya dengan ketentuan, Sweet Charity dapat berkumpul sekali lagi dalam sebuah persembahan yang bakal meninggalkan kesan dan rasa kepada penonton,” jelasnya.

Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity yang membuka tirai pada pukul 8 malam di Zepp Kuala Lumpur, bakal menyaksikan kumpulan rock legenda itu menyampaikan sebanyak 25 buah lagu dengan susunan muzik baharu untuk memberi kesegaran pada setiap karya yang dipersembahkan.

“Insya-Allah kami akan menyampaikan sebanyak 25 buah lagu yang dibuat susunan baharu, termasuk 15 buah lagu dalam senarai ‘all-time favourite’ (pilihan sepanjang zaman) seperti Batu, Kamelia, Teratai dan Zakiah.

“Dalam konsert itu juga kami akan bahagikan kepada lima segmen dengan setiap daripadanya mempunyai cerita tersendiri. Contohnya, segmen pertama untuk saudara kita di Palestin, segmen kemelayuan dan segmen hiburan,” ujarnya.

Tiket konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity yang dibawakan oleh Malaysia Shipowner’s Association, masih boleh didapati di kaunter tiket Zepp KL malam hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI