fbpx

EFL: Liverpool tawan Craven Cottage

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIAZ meledak gol pembukaan ketika Liverpool mencatat kemenangan dengan agregat 3-2 ke atas Fulham untuk mara ke final EFL awal pagi semalam. - AFP

LONDON – Liverpool berjaya melangkah ke Wembley bulan depan selepas menempah slot final Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Chelsea selepas menundukkan Fulham dengan agregat 3-2 pada aksi separuh akhir kedua di Craven Cottage awal pagi semalam.

The Reds tiba di London dengan kelebihan satu gol selepas mencatat kemenangan 2-1 pada aksi pertama di Anfield dan mendahului perlawanan seawal minit ke-11 menerusi Luis Diaz sebelum Issa Diop menyamakan kedudukan untuk perlawanan berakhir 1-1 sekali gus layak ke final.

Pengendali pasukan itu, Jurgen Klopp mengakui berpuas hati dengan aksi ditampilkan oleh para pemain terutama berdepan penyokong Fulham yang memenuhi stadium untuk memberikan sokongan.

“Kami bersedia untuk perlawanan ini. Saya mendengar sidang media oleh Marco Silva (Pengurus Fulham) yang mahu penyokong membanjiri stadium. Ini adalah perlawanan yang penting buat mereka, tetapi kami memiliki kemahuan yang lebih tinggi.

“Kami sepatutnya ‘membunuh’ perlawanan ini lebih awal, tetapi gagal melakukannya. Semuanya menarik mengenai aksi final EFL, namun kami juga perlu memberikan fokus kepada aksi lain juga. Wembley adalah tempat istimewa dan saya sangat gembira,” katanya.

Klopp juga memuji aksi dipamerkan para pemain muda sambil memberikan jaminan bahawa penjaga gol keduanya, Caoimhin Kelleher akan terus diberikan tugas mengawal gawang pasukan itu berdepan Chelsea di final nanti.

Aksi cemerlang yang dipamerkan oleh Joe Gomez juga menarik perhatian Klopp yang menganggap pemain itu cukup istimewa apabila mampu beraksi di semua posisi pertahanan musim ini.

“Tanpa Joe, mungkin ini tidak akan berlaku (mara ke final). Dia sangat luar biasa, pemain pertahanan yang sangat hebat.

“Para pemain muda lain seperti Jarell Quansah, Conor Bradley dan Bobby Clark juga telah memberikan aksi yang baik. Saya gembira melihat perkembangan positif mereka setiap hari di kelab ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Klopp memberi amaran kepada para pemainnya mengenai cabaran yang bakal dihadapi berdepan Chelsea selepas mereka meraih dua kejayaan di pentas final menentang pasukan itu pada EFL dan Piala FA 2022. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI