fbpx

Thaipusam meriah, lebih 5,000 Kavadi masuk Kuil Sri Subramaniyar Swamy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penganut agama Hindu memasuki pekarangan Kuil Sri Subramaniyar Swamy, Batu Caves, Gombak sempena perayaan Thaipusam, pagi tadi. -Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

GOMBAK – Perayaan Thaipusam kali ini disambut dengan penuh meriah apabila dianggarkan lebih 5,000 Kavadi berarak memasuki pekarangan Kuil Sri Subramaniyar Swamy, Batu Caves, di sini, hari ini.

Tidak terhenti disitu, perayaan tiga hari yang kemuncaknya hari ini turut dihadiri pelbagai bangsa termasuk pelancong luar negara bagi melihat keunikan upacara yang berlangsung.

Tinjauan wartawan Kosmo! di lokasi mendapati, seawal pukul 8 pagi tadi, jumlah pengunjung masih tidak berhenti membanjiri kuil tersebut.

Penuntut universiti, Ramanesvarren, 23, berkata, kehadirannya ke kuil tersebut merupakan rutin tahunan sejak usianya 10 tahun.

“Sebab saya tinggal di Ampang, memang setiap tahun akan datang sini dengan keluarga cuma kali ini datang dengan kawan.

“Kuil di Batu Caves ini meriah sampai lebih 5,000 kavadi akan masuk dalam masa sehari berbanding di tempat lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Kumar Krishna, 53, berkata, bagi mengelak kesesakan lalu lintas, dia sekeluarga mengambil keputusan menaiki motosikal ke kuil itu.

“Kalau naik kereta mungkin tersekat dalam kesesakan jalan raya satu ke dua jam, naik motosikal 20 minit sahaja sudah sampai. Tiap-tiap tahun kami buat macam ini, jadi keluar pukul 10 pagi masih boleh sampai awal tanpa menghadap jalan sesak ” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelancong dari Jerman turut berkongsi pengalaman pertamanya melihat kemeriahan sambutan Thaipusam di Batu Caves.

Menurut Moritz Höhne, 41, kehadirannya ke lokasi itu adalah secara tidak sengaja apabila disarankan pemandu e-hailing yang membawanya menerokai sekitar ibu kota.

“Tidak pernah saya lihat kemeriahan dalam sambutan perayaan seperti di sini (Batu Caves). Sejak tiba pukul 8 pagi lagi perarakan masuk masih tidak berhenti.

“Ini pengalaman pertama mengenai sambutan Thaipusam. Banyak perkara yang menarik dan mengejutkan bila lihat upacara yang berlangsung. Pengalaman ini tiada di negara lain.

“Secara keseluruhannya Malaysia antara destinasi yang paling puas hati dikunjungi, pelbagai budaya boleh dipelajari dan masyarakatnya sangat mesra,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kira-kira dua juta pengunjung akan membanjiri Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini, sepanjang sambutan Thaipusam sehingga 27 Januari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, sebanyak 1,600 pegawai dan anggota diatur gerak bagi memastikan keadaan di lokasi tersebut terkawal dan lalu lintas lancar.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI