fbpx

E-hailing sepatutnya hanya jadi ‘side income’ – Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Konsep dan tujuan melakukan e-hailing di negara ini sepatutnya hanya dijadikan sebagai alternatif untuk menambah pendapatan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pekerjaan tersebut tidak relevan dijadikan tempat bergantung, malah individu yang mempunyai kelayakan tinggi akan rugi kerana melepaskan peluang dan bakat untuk bekerja di sektor yang sesuai.

Menurutnya, kehadiran ekonomi gig melalui e-hailing adalah bagus untuk menambah pendapatan tapi untuk menjadi kerjaya, ia hanya sesuai untuk beberapa tahap kemahiran itu.

“Saya ada pekerja dulu. Dia kerja gaji RM3,000 lebih sampai pukul 5 petang dan pada sebelah malam dia buat (e-hailing) untuk tambah pendapatan. Jadi, konsep dan tujuannya itulah.

“Bagaimanapun, kalau individu itu berkelayakan ijazah ataupun diploma tetapi oleh kerana masalah pasaran kerja dia terpaksa jadi (e-hailer), lama-lama dia bergantung kepada perkara tersebut.

“Kita sebenarnya, mengorbankan bakat dan peluang yang dia ada,” katanya pada sesi podcast Yang Bakar Menteri yang disiarkan menerusi YouTube, kelmarin.

Mengulas situasi terkini, Rafizi berkata, pertambahan bilangan e-hailer dalam perkhidmatan tersebut yang didominasi sebuah syarikat menyebabkan ia tidak memihak kepada pekerja ekonomi gig.

“Ini adalah ‘supply and demand’ (tawaran dan permintaan). Apabila lebih ramai terpaksa jadi e-hailer, maka ia memihak kepada syarikat itu untuk menetapkan (kadar upah).

“Bagi dia, ‘aku turunkan (upah), kau tak nak, banyak lagi yang nak’. Tiada pilihan mereka nak protes. Mereka kena faham bahawa syarikat ini telah menghabiskan berbilion ringgit untuk jadi dominan dan sekarang mereka kena dapatkan pulangan,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, kata Rafizi, kerajaan akan melihat perkara itu secara menyeluruh bagi mencari penyelesaian untuk kedua-dua pihak iaitu syarikat e-hailing dan pekerja ekonomi gig.

“Jika kita lihat, pada awalnya itu (syarikat) beri subsidi. Pesanan banyak ini, kredit banyak ini dan diskaun banyak ini. Kalau kerajaan campur tangan suruh naikkan (upah), mesti mereka minga bagi subsidi. Itu adalah antara perkara yang kita perlu lihat secara menyeluruh,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI