fbpx
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam Perodua Myvi selepas kereta itu dihempap sebuah lori di Jalan Banting-Dengkil, Kuala Langat semalam.

‘Tarikh 22 yang amat menyedihkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Rutin harian seorang ibu yang menghantar dua anaknya ke sekolah hampir setiap hari bertukar tragedi apabila wanita itu bersama seorang anak maut selepas kereta yang mereka naiki diseret sebelum dihempap sebuah lori dalam kejadian di Jalan Banting-Dengkil di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu berlaku selepas sebuah lori yang hilang kawalan telah terbabas dan memasuki laluan bertentangan sehingga melanggar sebuah kereta Proton Persona.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, lori berkenaan kemudian telah melanggar beberapa lagi kenderaan lain termasuk Perodua Myvi yang dinaiki mangsa.

Difahamkan, kereta mangsa telah diseret sebelum dihempap di dalam parit.

“Sembilan anggota terlibat dalam operasi tersebut dan kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh,” katanya di sini semalam.

Beliau menambah, dua daripada mangsa termasuk seorang kanak-kanak disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan seorang lagi cedera di bahagian kaki.

Mangsa yang maut dalam kejadian itu ialah Nurhikmah Abd. Rahman, 43, dan anaknya, Nur Irsalina Zuhrah Safrol Nizam, manakala seorang lagi yang ce­dera ialah Nur Irdina Wafa, 16.

Ahmad Mukhlis menjelaskan, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Banting untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, seorang ahli keluarga mangsa yang juga adik kepada wanita yang maut me­ngakui kejadian itu begitu mengejutkan mereka.

Dia yang enggan dikenali berkata, arwah kakaknya yang merupakan seorang suri rumah dalam perjalanan menghantar dua anaknya masing-masing ke sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di daerah ini.

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian menimpa dua beranak tersebut kira-kira pukul 10 pagi tadi selepas dimaklumkan anak lelaki arwah yang kini sedang menuntut di sekolah berasrama penuh di Perak.

“Sangat sedih apabila kakak kedua daripada lima beradik ini maut dalam kemalangan sebegitu. Tambahan, arwah meninggal pada tarikh yang sama dengan arwah ibu kami iaitu 22 Januari.

“Ibu meninggal tahun lalu sebelum ayah pula dijemput Ilahi pada 22 Mei. Tidak sangka kami kehilangan semua keluarga pada tarikh 22,” katanya.

Beliau berkata, arwah kakak­nya bersama dua lagi anak sebenarnya sempat menghadiri majlis perkahwinannya di Kuala Lumpur semalam.

“Tiada perubahan ketara ­kecuali lihat diri arwah kakak yang banyak menangis dan mahu bergambar bersama adik-beradik yang lain,” katanya.
Kosmo! turut difahamkan, suami kepada Nurhikmah kini belajar sambil bekerja di Australia.

Dalam pada itu, usaha kami untuk menemu bual anak ­mangsa yang terselamat gagal selepas tidak dibenarkan pengurusan hospital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN