fbpx

Penjenamaan baharu Pejabat PTPTN Cawangan Taiping

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norliza menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Pejabat PTPTN Cawangan Taiping, Perak.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan penjenamaan baharu terhadap Pejabat PTPTN Cawangan Taiping di Perak sekali gus mengukuhkan lagi identiti korporat serta meningkatkan keyakinan masyarakat kepada perbadanan tersebut.

Pejabat tersebut merupakan cawangan ketiga dirasmikan dengan penjenamaan baharu oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim menerusi majlis perasmian di cawangan tersebut, hari ini.

Norliza berkata, dalam memastikan identiti korporat PTPTN terus disegani dan kepercayaan yang kukuh serta imej yang positif, PTPTN telah melaksanakan penjenamaan (rebranding) secara berperingkat bermula tahun 2020.

“Alhamdulillah, pelbagai penambahbaikan telah dan sedang dilaksanakan secara menyeluruh, antaranya merangkumi operasi, identiti produk dan imej seluruh cawangan PTPTN.

“Saya optimis dengan perasmian cawangan ini, dapat mengukuhkan lagi identiti korporat dan meningkatkan keyakinan masyarakat kepada PTPTN.

“Justeru, kepada seluruh masyarakat negeri Perak, boleh hadir ke Cawangan Taiping bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan dan menikmati kemudahan pejabat yang lebih selesa dan kondusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norliza memotong riben semasa lawatan ke Pejabat PTPTN Cawangan Taiping.

Beliau berkata, mulai 2012, PTPTN telah menubuhkan Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan di seluruh negara untuk memastikan PTPTN sentiasa dekat dengan
pelanggan dalam memberikan perkhidmatan terbaik.

“Atas komitmen inilah, sebanyak 58 Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan telah beroperasi sehingga kini di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak. Ini termasuklah, Pejabat PTPTN Negeri Perak yang beroperasi pada Julai 2012 di Ipoh, Perak, yang merupakan antara PPN terawal ditubuhkan.

“Selain itu, terdapat tiga Pejabat PTPTN Cawangan di Perak iaitu Cawangan Manjung dan Cawangan Taiping yang mula beroperasi pada April 2015 serta Cawangan Teluk Intan yang mula beroperasi pada Oktober 2015,” katanya.

Pada majlis tersebut, PTPTN turut menyampaikan hadiah kepada lima pemenang Kempen Cabutan Jom Bayar PTPTN bagi Negeri Perak sempena Hari Mesra Pelanggan dengan jumlah keseluruhan RM5,000.

Kempen yang berlangsung pada Disember 2023 lalu menawarkan hadiah tunai keseluruhan berjumlah RM70,000 kepada 140 pemenang dalam bentuk akaun Simpan SSPN, manakala ia diadakan sebagai promosi untuk meningkatkan kesedaran peminjam membuat bayaran balik pinjaman mereka.

Selain itu, PTPTN turut memberikan sumbangan zakat berjumlah RM10,000 kepada 100 orang pelajar asnaf di Mukim Batu Kurau dan Kariah Masjid Jamek Kamunting yang mana setiap seorang menerima RM100 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI