Pelanggan tetap Restoran Nasi Kandar Sulaiman menikmati hidangan nasi kandar lauk sotong bernilai RM218 di George Town semalam.

‘Pembeli sotong RM218 pelanggan tetap kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Tindakan seorang pelanggan lelaki membeli satu hidangan nasi kandar ‘termahal’ dengan pelbagai lauk di sini pada harga RM218, kelmarin dikatakan berlaku secara kebetulan dan bukannya kandungan media sosial.

Pengarah restoran Nasi Kandar Sulaiman, Mohamed Imran Mohamed Yasin berkata, dia tidak menyangka seorang pe­langgan tetapnya iaitu lelaki berusia 33 tahun itu membeli hidangan signatur itu pada harga sedemikian sekali gus berjaya memecah rekod di premis yang sudah beroperasi sejak enam dekad lalu di Jalan Dato Keramat.

Menurutnya, tindakan pelanggan itu sememangnya mengejutkan pihak restoran selepas dia menikmati nasi putih bersama kuantiti lauk-pauk yang baik dan memenuhi keseluruhan pinggan di premis berkenaan.

“Lelaki itu merupakan pelanggan tetap kami dan dia sudah mai (datang) sejak kecil lagi bersama bapanya.

“Antara lauk yang dia makan adalah 13 ekor udang, 13 ekor sotong, dua ketul ayam, telur sotong dan telur itik masin. Memang tak sangka kali ini dia datang dan makan sebanyak itu dalam tempoh sejam 17 minit.

“Sebelum ini, memang ada pelanggan dari luar Pulau Pinang menikmati satu hidangan nasi kandar pada harga RM50 hingga RM100 seorang dan kami ada juga memuat naik di Facebook. Tetapi, semalam (kelmarin) memang di luar jangkaan dan ia berlaku bukan sebagai kandungan media sosial untuk pemasaran,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Beritahu Mohamed Imran lagi, kebiasaannya pelanggan di negeri itu akan menikmati hidangan nasi kandar berlauk seketul ayam atau daging dengan telur sekitar harga RM8 hingga RM11.50 sahaja.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook restoran ber­kenaan apabila memuat naik gambar seorang lelaki berjaya memecah rekod membeli nasi kandar ‘termahal’ dengan pelbagai lauk termasuk sotong dan udang yang kesemuanya berharga RM218, kelmarin.

Pada Jumaat lalu, premis tersebut juga ada memuat naik hantaran mengenai seorang pelanggannya yang memecah rekod membeli nasi kandar bersama pelbagai lauk dengan harga RM114.50 sehingga tular.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN