fbpx

Lelaki Nigeria lari dicekup polis maut jatuh tingkat 16

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis dan bomba mengangkat mayat lelaki warga Nigeria yang maut terjatuh dari aras 16 sebuah kondominium di Batu Uban, malam tadi.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga Nigeria ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Uban di sini ketika cuba melarikan diri daripada diberkas polis, semalam.

Difahamkan, lelaki berkenaan bertindak sedemikian selepas unit rumahnya itu diserbu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang selepas disyaki menjadi lokasi aktiviti pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, polis bertindak menyerbu rumah berkenaan selepas mendapat maklumat mengenai kegiatan pengedaran dadah yang dilakukan di rumah tersebut.

“Ketika polis mengetuk pintu rumah terbabit, seorang lelaki dipercayai warga Nigeria dilihat keluar. Tetapi, dia kemudiannya masuk semula dan mengunci pintu besi serta pintu rumah tersebut selepas sedar kehadiran pihak polis,” katanya di sini, malam tadi.

Menurut Razlam, setelah anggota memecah masuk rumah berkenaan mendapati lelaki Nigeria terbabit tiada dalam kediaman itu.

“Ketika pemeriksaan, terdapat seorang lelaki dipercayai warga Nigeria di dalam rumah berkenaan dan telah ditahan.

“Disebabkan tangkapan tidak menemukan lelaki yang membuka pintu pada awal kehadiran polis, pihak polis telah membuat pemeriksaan lanjut di kawasan perumahan tersebut.

“Menerusi pemeriksaan lanjut di bahagian bawah kondominium, polis menemukan mayat lelaki yang terbaring di tingkat bawah dipercayai lelaki yang membuka pintu rumah berkenaan ketika kehadiran polis,” katanya.

Dalam pada, jelasnya lagi, polis turut berjaya menahan seorang lagi lelaki Nigeria dipercayai rakan mereka ketika cuba melarikan diri di tingkat lapan kondominium terbabit.

“Dalam serbuan itu, pihak polis menemui sejumlah dadah jenis ekstasi dan syabu dalam rumah yang disewa mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek yang maut akibat jatuh dari kondominium terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI