PETALING JAYA – Pasti sukar bagi seorang yang memiliki pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang korporat dengan menjawat jawatan penting dalam beberapa syarikat konglomerat utama negara untuk terjun dalam bidang perniagaan.
Apatah lagi daripada seorang yang mempunyai kemahiran dalam pembangunan modal insan, Ketua Pegawai Eksekutif N Three Beauty, Norhaslina Asma Mohd. Hashim terpaksa meninggalkan kerusi empuknya dengan jawatan tinggi dalam bidang tersebut demi untuk menguruskan perniagaan berkaitan produk kecantikan.
Niat awal hanya untuk mengambil perniagaan N Three Beauty ekoran kematian pengasasnya, tetapi saban hari mengkaji perniagaan itu, satu aura baharu menyuntik semangat wanita berusia 41 tahun yang berasal Pekan, Pahang tersebut untuk mengoperasikan bisnes berkenaan.
Norhaslina Asma menerima cabaran untuk mengoperasikan perniagaan tersebut daripada suaminya dengan hati yang terbuka, meskipun sekiranya beliau diberi pilihan dalam menjalankan perniagaan, industri kecantikan adalah pilihan terakhir yang akan diceburinya.

“Industri kecantikan adalah industri yang sangat dinamik dan berkembang pesat. Tetapi tidak mudah dan banyak cabaran yang harus dilalui dan diatasi sebelum mendapat tempat di hati pengguna.
“Saya sukakan cabaran dan yakin akan berjaya melakukannya,” kata beliau ketika ditemui dalam sesi pengenalan produk syarikat di sini baru-baru ini.
Norhaslina Asma menjelaskan, pada peringkat awal, N Three Beauty hanya menawarkan produk penjagaan kecantikan asas iaitu set pencuci muka, krim siang dan malam serta pelembap sejak mula berada di pasaran pada 2005.
Bagaimanapun, melalui air tangan Norhaslina Asma, tawaran produk berbeza yang kini bertambah kepada sembilan jenis lengkap untuk penjagaan kulit wajah bukan sahaja wanita, tetapi juga lelaki.
Ia terdiri daripada Beauty Soap, Beauty Scrub, Beauty Essence, Cleansing Milk, Moisturizer, Day Cream, Acne Serum, Day Serum dan Night Serum.
Produk yang dijual pada harga RM35 hingga RM135 seunit itu telah melalui proses kajian dan pembangunan yang teliti memandangkan Norhaslina agak teliti dalam pembikinan produk keluaran terbaharunya ini.
“Sebelum ini, saya tidak pernah mencuba produk kecantikan buatan tempatan kerana masih menyakini kualiti produk berjenama popular di pasaran, tetapi selepas mencuba produk N Three Beauty sebaik mengambil alih perniagaan tersebut, membuatkan saya tertarik dan mahu terus membuat kajian dalam bidang ini.

“Sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang pembangunan modal insan dan saya juga terlibat membuat keputusan strategik dalam syarikat sebelum ini, menjadikan saya lebih teliti, cerewet dan terus mengkaji agar produk yang dihasilkan berkualiti dan memenuhi keperluan pelanggan,” katanya.
Menurut usahawan ini, kekangan utama adalah berdepan dengan tanggapan masyarakat bahawa sebahagian daripada mereka telah dipengaruhi dengan persepsi bahawa produk tempatan adalah produk ‘timbang kilo’ dan tidak berkualiti.
“Sebenarnya, ramai yang tidak tahu sebenarnya Malaysia adalah antara negara pengilang produk kecantikan yang berkualiti tinggi.
“Sehubungan itu, saya nekad untuk menjadikan N Three Beauty jenama pilihan dan setanding dengan jenama antarabangsa dan memastikan pengguna memilih produk yang selamat digunakan tanpa mengabaikan kesihatan diri,” katanya.

Tambah beliau, bagi merealisasikan harapan tersebut, beliau telah menyusun strategi untuk mengukuhkan jenama berkenaan bukan sahaja di pasaran tempatan, tetapi di peringkat global.
Wanita ini telah mengubah proses pembotolan produknya kepada item berimejkan antarabangsa agar ia dapat menembusi pelanggan berstatus M40 dan T20.
Lebih menarik, syarikat juga bakal memperkenalkan segmen kosmetik dan mengunjurkan perolehan jualan tumbuh sekali ganda berbanding jualan pada tahun 2023 iaitu sebanyak 10,000 unit.
Jualan tertinggi disumbangkan oleh Beauty Soap dan Moisturizer yang mana semua produknya yang menggunakan bahan asas minyak kelapa dara dengan inovatif campuran lain yang bermutu membolehkan syarikat sentiasa memperoleh testimoni positif daripada pelanggan sedia adanya.
Tambah beliau, melalui sokongan daripada sistem pengedarannya yang dikendalikan oleh setiap reseller dalam sebuah negeri yang mana ia bertanggungjawab menguruskan rangkaian ejen jualan di bawahnya akan mengukuhkan lagi sistem jualan syarikat selama ini.
Lebih menarik, minat dan kesungguhannya menceburkan diri dalam badan bukan kerajaan dengan menyandang jawatan penting di dalamnya akan membolehkan beliau meluaskan lagi empayar penguasaan pasaran dengan memasang strategi untuk bekerjasama memasarkan produk keluaran syarikat. -KOSMO! ONLINE














