fbpx

Lelaki nekad samun berparang kedai haiwan dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG JAYA – Tindakan nekad lelaki warga asing dan rakannya menyamun sebuah kedai haiwan di Jalan Bunga Tanjung 18, di sini mengundang padah apabila ditahan, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam berkata, dalam kejadian pada pukul 3.26 petang itu, peniaga berusia 54 tahun memaklumkan premisnya didatangi dua lelaki bersenjatakan parang.

“Salah seorang suspek masuk ke dalam kedai haiwan tersebut, manakala rakannya menunggu di luar pintu kedai.

“Suspek mengeluarkan sebilah parang dari dalam beg yang disandang dan merentap baju mangsa sambil menuju ke peti juruwang. Suspek kemudian mengarahkan kawan pengadu menyerahkan wang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, rakan pengadu membuka peti tersebut dan menyerahkan wang tunai kepada suspek.

“Suspek mengambil satu beg hitam berisi buku dan ubat di bawah meja, kemudian melarikan diri bersama rakannya dengan menaiki motosikal,” katanya.

Mohd Azam memberitahu, pihaknya berjaya memberkas suspek berusia 31 tahun pada pukul 12 tengah hari, di sekitar daerah ini.

“Kita merampas beg galas, baju, seluar jeans, topi keledar dan satu bilah parang panjang bagi membantu siasatan,” katanya.

Ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati lelaki itu positif methamphetamine dan amphetamine.

“Semakan mendapati rakan sejenayah suspek pernah dituduh atas kesalahan curi motosikal sebelum ini,” katanya.

Mohd Azam berkata, suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI