fbpx

Kenaikan tarif air Terengganu tidak lebih 20 sen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MARANG – Kerajaan negeri Terengganu memberi jaminan kenaikan tarif air buat pengguna domestik negeri ini yang akan berkuatkuasa bulan depan tidak akan melebihi 20 sen bagi setiap meter padu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kenaikan tersebut dirasakan tidak membebankan pengguna dengan purata tambahan bil air yang perlu dibayar antara RM1.80 hingga RM7.16 sebulan bergantung kepada penggunaan.

“Pelarasan tarif air Terengganu yang sudah lebih 20 tahun tidak disemak ini membantu Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) menyediakan keperluan lebih baik kepada pengguna seperti penggantian paip.

“Ia bersifat menang-menang untuk syarikat air (Satu) dan pengguna supaya perkhidmatan menjadi lebih baik,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri memberi jaminan pemberian subsidi 20 meter padu air kepada keluarga kurang berkemampuan atau B40 masih diteruskan.

Jelas beliau, buat masa ini, pemberian subsidi itu melibatkan 11,832 keluarga B40 seluruh negeri ini melibatkan peruntukan keseluruhan lebih RM1.18 juta setahun.

“Pemberian subsidi air terhadap 1,883 masjid dan surau di negeri ini juga akan diteruskan melibatkan peruntukan keseluruhan RM1.4 juta setahun,” katanya.

Buat masa ini, sebanyak 83 peratus daripada 341,546 pemegang akaun Satu merupakan pengguna domestik dengan caj dikenakan bagi 20 meter padu air pertama ialah 42 sen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI